Thursday, May 15, 2014

WANITA LEBIH FOKUS DI JALAN RAYA



Di dalam industri pengangkutan awam, wanita dikatakan memiliki kelebihan istimewa yang menjadi faktor signifikan terhadap keterlibatan mereka ketika memandu apa-apa jenis pengangkutan awam samada di jalan raya ataupun di udara.

Berdasarkan laporan trafik New York, naluri wanita dikatakan lebih peka kepada persekitaran. Lazimnya, persediaan wanita sebelum memandu kenderaan adalah lebih teliti dalam aspek pemakaian tali pinggang, kedudukan cermin pandang belakang dan cermin sisi kenderaan.


Pemeriksaan keadaan enjin juga telah dilakukan lebih awal sebelum memulakan sesuatu perjalanan yang jauh. Mungkin bagi sesetengah kaum lelaki, persediaan ini adalah ‘biasa’ yang remeh, malah terdapat juga pemandu lelaki yang mengabaikan pemakaian tali pinggang keledar kerana menganggap mereka sudah cukup profesional dalam pemanduan kenderaan.


Hasil kajian di University of Bradford (2000) membuktikan bahawa wanita mempunyai daya fokus yang lebih lama daripada lelaki disebabkan hormon estrogen yang terkandung dalam tubuh wanita.


Hormon tersebut memudahkan wanita menumpukan perhatian terhadap sesuatu perkara seperti mempelajari, memahami dan mematuhi peraturan. Keadaan ini secara tidak langsung menyumbang kepada kadar pematuhan yang tinggi terhadap undang-undang jalan raya dalam kalangan pemandu wanita.


Hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) pada tahun 2010 pula mendapati wanita lebih beremosi sewaktu memandu di jalan raya, tetapi mereka mengalami kurang pelanggaran dan maut di jalan raya.


Dalam pada itu, Karen Goonting, salah seorang penyelidik dan pakar psikologi berkata: "walaupun wanita mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk cepat rasa marah, namun jumlah pemandu wanita yang terlibat dalam kemalangan jalan raya adalah kurang kerana mereka kebiasaannya menyimpan rasa marah tersebut.”


Kesimpulannya, di sebalik fitrah keayuan dan kelembutan golongan wanita, terselit sebuah ketabahan yang menjadi nadi penggerak kepada mereka untuk terus memecah tradisi dan bergelar pemandu pengangkutan awam. Hal ini bersesuaian dengan kata-kata keramat ‘tangan yang disangka lembut mengayun buaian telah menggoncang dunia untuk mencipta sejarah.’


No comments:

Post a Comment