Saturday, May 3, 2014

PERLUKAH WANITA MENYERTAI PERHIMPUNAN DI JALAN?

Hak wanita... Hak bersuara... Hak berhimpun...

Kesemua di atas telah diberi kepada rakyat Malaysia kerana kerajaan mengamalkan demokrasi di sebuah negara yang akan menuju Negara Maju menjelang 2020. Setelah kerajaan menggubal Akta Perhimpunan Aman 2012, apakah rakyat yang ingin menganjur dan mengambil bahagian benar-benar menghormati dan mematuhi syarat-syarat di dalam Akta Perhimpunan Aman ini?

Khamis lalu, rakyat sekali lagi meminta hak mereka untuk berhimpun secara aman, dan tidak ketinggalan kaum wanita juga telah mengambil bahagian menyertai perhimpunan tersebut, di mana di serata dunia wanita pasti mengambil bahagian malahan ada juga mengetuai perhimpunan tersebut.

DUA NILAI BERBEZA 
PERHIMPUNAN DISERTAI WANITA



Sebagai sebuah negara yang mengamalkan kebudayaan sopan dan mementingkan anutan islam serta mendaulatkan undang-undang, jika dilihat gambar-gambar di bawah, apakah wanita-wanita Malaysia perlu menyertai perhimpunan di jalan?






Persoalan seterusnya, mampukah wanita Malaysia terutamanya wanita Melayu beragama Islam menegakkan nilai-nilai kewanitaan sebenar Melayu dan Islam ketika beramai-ramai di dalam sesuatu perhimpunan yang disertai berpuluh ribu manusia?

Apakah benar ia satu perhimpunan yang aman? Kadangkala ada di antara yang menyertai sesuatu perhimpunan dengan objektif yang jelas dan selalunya ia adalah untuk menunjuk protes terhadap kerajaan ke atas isu-isu tertentu. Apabila ditambah dengan hasutan dari penceramah-penceramah jemputan dan dicampur dengan kepentingan politik, apakah keadaan aman mampu terkawal? Malangnya, kejadian di bawah kerap terjadi;


Wanita-wanita yang menyertai perhimpunan jalanan ini terdiri daripada ibu, isteri, remaja dan kanak-kanak serta anak-anak kecil, di mana satu institusi keluarga dibawa bersama ke jalan untuk berhimpun. Malang sekali apabila ada di antaranya adalah warga emas yang tidak sepatutnya diheret bersama.







Perlukah diheret bersama-sama wanita demi memenuhi kehendak kaum lelaki untuk sama-sama bersesak di sesuatu perhimpunan jalanan? Bukankah tugas seorang lelaki sebagai anak, abang, adik, suami dan ketua melindungi mereka dan memastikan keselamatan mereka?

Kepada para kakak, ibu, isteri dan adik perempuan, gunakanlah hak kita sebagai wanita dengan lebih bijak dan adil kepada diri kita dan juga keluarga. Walaupun kita sebagai wanita perlu menyuarakan hak kita, adalah lebih baik jika menggunakan saluran yang lebih kewanitaannya dan dapat menjaga keselamatan diri dan keluarga.

Sebagai wanita berilmu, kita juga perlu tahu apakah syarat-syarat Akta Perhimpunan Aman yang telah dikuatkuasakan kerajaan untuk kita patuh;

AKTA PERHIMPUNAN AMAN 2012

Seksyen 4 -Hak untuk menganjurkan perhimpunan atau menyertai perhimpunan
(1) Hak untuk menganjurkan suatu perhimpunan atau menyertai suatu perhimpunan atau menyertai suatu perhimpunan secara aman dan tanpa senjata di bawah akta ini tidak meluas kepada yang berikut:

(a) seseorang bukan warganegara;

(b) perhimpunan yang diadakan dimana-mana tempat larangan dan dalam jarak lima puluh meter dari had tempat larangan;

(c) suatu protes jalanan;

(d) berhubung dengan penganjuran suatu perhimpunan, seseorang yang di bawah dua puluh satu tahun; dan

(e) berhubung dengan penyertaan dalam suatu perhimpunan selain perhimpunan yang dinyatakan Jadual Kedua, seseorang kanak-kanak.

(2) Seseorang melakukan suatu kesalahan jika:

(a) sebagai seorang bukan warganegara, dia menganjurkan atau menyertai suatu perhimpunan;

(b) dia menganjurkan atau menyertai suatu perhimpunan yang diadakan di mana-mana tempat larangan dan dalam jarak lima puluh meter dari had tempat larangan;

(c) dia menganjurkan atau menyertai suatu protes jalanan;

(d) sebagai seorang yang di bawah umur dua puluh satu tahun, dia menganjurkan suatu perhimpunan;

(e) sebagai seorang kanak-kanak, dia menyertai suatu perhimpunan selain suatu perhimpunan yang dinyatakan dalam Jadual kedua; atau

(f) dia merekrut atau membawa kanak-kanak ke suatu perhimpunan atau membenarkan kanak-kanak untuk menghadiri suatu perhimpunan selain suatu perhimpunan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua.

(3) Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah perenggan (2)(a), (b), (c), (d) atau (e) boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit.

(4) Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah perenggan (2)(f) boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit.

Jadual Kedua
[Perenggan 4(1)(e)]

Perhimpunan yang boleh disertai oleh kanak-kanak
Perhimpunan keagamaan
Perarakan pengebumian
Perhimpunan berhubung dengan adat
Perhimpunan yang diluluskan oleh menteri

(3) Melanggar kessalahan di bawah (2) (a),(b),(c),(d) dan (e) dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000.00

(4) Seseorang melakukan kesalahan di bawah seksyen 2(f) dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000.00

No comments:

Post a Comment