Tuesday, May 20, 2014

ANN BUKITKAN SUKAN LASAK BUKAN UNTUK LELAKI SAJA



Selepas lebih lima puluh tahun, siapa sangka yang Malaysia telah melahirkan atlet profesional wanita bagi sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA)?

Nur Ain Osman atau lebih dikenali sebagai Ann 'Athena' Osman, 27 tahun, dan berasal dari Sabah, merupakan wanita pertama Malaysia yang bakal bertarung secara profesional dalam kejohanan MMA, ONE Fighting Championship (ONE FC) – sesuatu yang amat membanggakan! Gadis separuh Dusun itu telah berlatih selama dua tahun dalam sukan MMA dan mempunyai latar belakang yang kukuh dalam seni mempertahankan diri Muay Thai di mana beliau telah dilatih oleh jurulatihnya, AJ ' Pyro ' Lias Mansor. Ann akan bertanding dalam acara MMA terbesar Asia itu pada 18 Oktober 2013.

Ann bukan sahaja mahir dalam seni mempertahankan diri, malah beliau mampu mengangkat seorang lelaki!

Selain seni mempertahankan diri, Ann turut meminati sukan lasak seperti kayak laut, mountain bike dan juga hiking. Di sekolah, Ann gemar bermain bola keranjang dan juga bola jaring. Minat beliau kepada sukan dan aktiviti luar, merupakan antara faktor beliau menceburkan diri dalam MMA. Sebagai seorang pengamal seni mempertahankan diri, Ann telah bertarung dalam pelbagai kejohanan amatur Muay Thai serta MMA di seluruh negara.

Pada pandangan Ann, persepsi bahawa sukan MMA adalah 'sukan lelaki' tidak boleh diterima sama sekali. Ann berasa sedih apabila ada yang mempunyai persepsi sebegitu. Katanya, tidak ada istilah ‘sukan lelaki' kerana dia telah menyaksikan sendiri wanita mengambil bahagian dalam sukan yang didominasi oleh lelaki.

Ann juga percaya bahawa wanita kini mampu melakukan perkara-perkara yang dahulunya hanya dibuat oleh kaum lelaki, terutamanya setelah negara kini mencapai usia emas. Bagi beliau, sudah tiba masanya untuk Malaysia terus maju ke hadapan. Katanya lagi, tidak mustahil untuk berjaya jika seseorang itu pandai membahagikan masa. Sebagai seorang yang berdisiplin tinggi, Ann membahagikan masanya antara kerjaya dalam industri hartanah, membantu jurulatih, dan keluarga. Beliau percaya pengurusan masa adalah kunci ke arah kejayaan.

 


Pertarungan di ONE FC sudah tentunya satu langkah yang besar untuknya, dan satu lonjakan gergasi untuk Malaysia. Bagaimanapun, buat masa ini fokus Ann adalah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan itu.

Kisah Ann ini, merupakan bukti yang kukuh bahawa Malaysia sememangnya ... wanita Malaysia boleh!

No comments:

Post a Comment