Sunday, May 18, 2014

BERHATI-HATI WANITA ...MANGSA JENAYAH TIDAK KENAL USIA

Sejak dahulu masyarakat tidak ambil kisah mengenai kes ragut biarpun ada kalanya individu terbabit kehilangan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas.

Ketika itu, kes ragut masih dianggap sebagai terpencil dan tidak memudaratkan mangsa. Namun perubahan masa telah menyaksikan ragut sebagai satu jenayah serius yang sejak akhir-akhir ini turut meragut nyawa manusia.

Kenapa hanya wanita yang menjadi mangsa kebanyakan kes ragut? Pada hal selama ini mereka langsung tidak pernah terfikir bahawa ragut boleh mengancam nyawa.

Fenomena ini telah membawa satu lagi amaran kepada wanita supaya lebih berhati-hati dalam kehidupan seharian mereka terutama kala berada di khalayak.

Banyak pihak apabila memperkatakan tentang jenayah ragut ini meletakkan kesalahan kepada wanita kerana leka dan tidak peka kepada jenayah yang akan mereka hadapi.

Kejadian yang dilaporkan ini menunjukkan jenayah ragut tidak mengenal usia dan tiada belas ehsan walaupun yang menjadi mangsa adalah warga emas;

Sister Marie Rose

SEREMBAN, 16 Mei – Jenayah kekerasan terhadap kaum wanita terutamanya melibatkan warga emas di negara ini tidak boleh diterima dan perlu dibendung, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata pihaknya tidak boleh menerima budaya jenayah keganasan seumpama itu terutamanya terhadap wanita seperti kejadian samun yang berlaku ke atas dua rahib wanita di Gereja Visitation, di sini Rabu lepas.

“Kita tidak boleh berkompromi dalam perkara ini di mana pelakunya harus dijatuhi hukuman yang setimpal. Mereka perlu diheret ke muka pengadilan segera sebagai isyarat bahawa ia adalah satu kesalahan amat serius.

“Kita menghantar amaran yang jelas bahawa di Malaysia, budaya jenayah kekerasan terutama kepada wanita tidak diterima……kita hendak tolak,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJ) di sini hari ini.

Terdahulu, Shahrizat yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) meluangkan masa hampir sejam di HTJ bagi melawat dua rahib wanita itu yang parah akibat diserang di pintu hadapan Gereja Visitation, di sini Rabu lepas.

Shahrizat turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga kedua-dua mangsa berkenaan.

Beliau berkata pihaknya memandang serius dan mengambil berat berhubung kejadian itu kerana ianya melibatkan wanita dan warga emas selain lokasinya iaitu di rumah ibadat.

“Saya memohon pihak berkuasa (polis) membuat siasatan rapi dan berharap sesiapa yang bertanggungjawab dalam jenayah ini dihadapkan ke mahkamah secepat mungkin. Itu yang amat mustahak. Kami turut mendoakan agar kedua-dua mangsa ini selamat dan pulih daripada kecederaan.” katanya.

Sister Marie Rose @ Theresa Teng, 79, koma manakala Sister Juliana Lim, 69, parah di kepala selepas diserang dengan topi keledar dalam kejadian bermotifkan samun itu.

No comments:

Post a Comment