Saturday, May 3, 2014

PERUTUSAN 1 MEI PM : RAIKAN PENCAPAIAN SOSIAL PEKERJA

Selamat Hari Pekerja 2014
1 Mei 2014 
oleh Najib Razak
 
Salam 1 Malaysia.

Hari Pekerja disambut di seluruh dunia pada 1 Mei setiap tahun. Dari sudut sejarah, Hari Pekerja adalah hari untuk meraikan pencapaian ekonomi dan sosial pekerja, termasuklah penetapan 8 jam sehari bekerja. Undang-undang Buruh pada masa lampau tidak begitu menekankan kebajikan pekerja, maka pekerja-pekerja pada era 1800-an mula bangun memperjuangkan hak mereka.

Sejak kali terakhir kita menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei 2013, kadar pengangguran di Malaysia telah bertambah baik pada kadar paling rendah sepanjang sejarah iaitu 3.2% dan kadar ini masih lagi antara yang paling rendah di dunia. Hari ini, pekerja-pekerja kita mendapat gaji yang baik, waktu bekerja yang adil, persekitaran pekerjaan yang selamat dan juga hak persaraan yang terjamin.

Kerajaan telah mengambil kira keperluan peningkatan tenaga kerja yang berkembang dan telah berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dengan memperkenalkan skim gaji minima; manakala umur bersara minima pula ditingkatkan kepada 60 tahun.

Hari ini, Malaysia bertuah kerana mempunyai ekonomi yang berkembang maju dan pesat, seperti yang dibuktikan oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar pada kadar 4.7% yang kita dinikmati dalam tahun 2013. Oleh kerana negara kita kini terus kekal pada landasan yang betul demi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, kita perlu berterima kasih kepada tenaga kerja di Malaysia yang begitu komited terhadap aspirasi ini.

Ketika negara kita terus membangun dan melalui transformasi, seperti yang terbukti melalui perpindahan dari luar bandar ke bandar; peralihan dari produktiviti pertanian yang rendah kepada produktiviti tinggi dalam sektor perusahaan, dan seterusnya sektor perkhidmatan, kerajaan amat komited untuk memperbaiki persekitaran pekerjaan untuk setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira pangkat, status, bangsa dan pandangan politik.

Kerajaan komited untuk memodenkan undang-undang buruh Malaysia seiring dengan keperluan sebuah ekonomi berpendapatan tinggi demi memikirkan kehendak rakyat. Akta Perhubungan Perusahaan 1967 juga disemak dalam usaha membenarkan resolusi yang lebih cekap bagi pemberhentian yang tidak adil dan juga sebarang pertikaian pekerja. Tambahan lagi, kerajaan turut memastikan cara yang berkesan bagi penguatkuasaan anugerah Mahkamah Perusahaan, keperluan perniagaan yang seimbang dan hak kakitangan melalui rundingan.

Akta Pekerjaan 1955 turut dikaji semula bagi memastikan undang-undang seiring dengan keperluan setempat dan majikan asing seperti keperluan tenaga kerja sebuah negara perindustrian. Sebarang pindaan undang-undang adalah bertujuan untuk mendorong produktiviti dan kecekapan, meningkatkan kadar pendapatan dan melindungi kakitangan bagi menyokong persaingan tempatan, daerah dan global. 

Ketika negara kita melalui peralihan dari ekonomi berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi, sebaiknya kita akui betapa negara kita memerlukan kerjasama dari setiap pekerja di setiap sektor ekonomi sebagai tulang belakang kepada ekonomi kita. 

Inilah masanya untuk pekerja-pekerja kita, ekonomi kita dan negara kita bersatu dalam usaha untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. Selamat Hari Pekerja kepada semua setiap tenaga kerja negara!


No comments:

Post a Comment