Monday, May 19, 2014

PERIKSA LABEL MAKANAN DAHULU SEBELUM MEMBELI


Percaya atau tidak, hampir 74 peratus golongan ibu yang mempunyai anak yang berusia satu hingga tiga tahun di negara ini tidak mengamalkan pembacaan label makanan iaitu penyenaraian tahap kandungan nutrien di sesuatu produk makanan.

Lebih malang, ramai yang tidak menyedari kepentingan gabungan nutrisi kepada anak-anak mereka.

Mengikut tinjauan mendapati golongan ibu bapa hanya menitikberatkan pemberian susu yang mempunyai khasiat susu tumbesaran. Walau bagaimanapun, lebih daripada 80 peratus ibu tidak mengetahui langsung akan kandungan bahan tersebut.

Tidak ada sebarang nutrien dalam kelas khusus yang boleh membangunkan fizikal dan mental secara keseluruhan. Segala-galanya bergantung kepada kombinasi nutrien yang dihantar dalam nisbah yang secukupnya bagi menyokong perkembangan anak-anak.

Sebanyak 68 peratus ibu bergantung kepada cadangan kawan-kawan dan keluarga sebelum membeli susu untuk anak-anak mereka.

Beberapa tip ketika membaca kandungan label makanan iaitu jangan membeli sesuatu makanan hanya dengan melihat pakej pembungkusan, sebaliknya membandingkan Panel Maklumat Nutrisi (NIP).

Selain itu, ketika membandingkan kandungan nutrisi antara jenama berbeza, seseorang boleh mengenal pasti nilai tinggi dan rendah kandungan nutrisinya.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa kandungan nutrien hanya boleh diukur dengan 100 gram (g) atau 100 mililiter (ml) bagi sesuatu produk. Begitupun, pengguna boleh merujuk kepada pakar pemakanan bagi mendapatkan panduan selanjutnya.

Hampir 81 peratus ibu menyedari tentang keburukan makanan segera dan minuman ringan. Ini adalah satu perkembangan yang positif. Sekurang-kurangnya mereka mengetahui tentang keburukan kedua-dua jenis makanan berkenaan.

Jika sebelum ini terdapat dakwaan mengenai makanan kantin di sekolah punca kanak-kanak obesiti, ia sama sekali tidak berasas. Ia memandangkan makanan sihat bermula dari rumah. Untuk itu, ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik kepada anak-anak dengan merujuk kepada piramid panduan makanan.



Untuk maklumat lanjut, sila layari laman NUTRIWEB

No comments:

Post a Comment