Wednesday, May 14, 2014

BUKU DARI WANITA UNTUK WANITA


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pernah melancarkan 4 buah buku mengenai wanita di kementerian itu.

Buku-buku tersebut ialah Mengangkat Martabat Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Perjuangan Politik Wanita Malaysia; Wanita Malaysia Membela Maruah serta Wanita dan Politik Malaysia.

Mengangkat Martabat Wanita Keluarga dan Masyarakat 

Buku Mengangkat Martabat Wanita Keluarga dan Masyarakat memaparkan rangkuman detik-detik paling bermakna di awal penubuhan kementerian ini sehingga kematangan yang dicapainya hingga kini. 

Begitu pantas masa berlalu, usia KPWKM yang mencecah tahun ke-11 ini telah mencatat pelbagai pencapaian dan kejayaan memberangsangkan. 

Sepanjang menjadi peneraju kementerian tersebut, beliau berjaya mengetengahkan pelbagai perkara melibatkan kepentingan wanita dan keluarga sebagai isu arus perdana.

Fokus kepada perundangan dan polisi, advokasi dan program-program kumpulan sasar sudah, masih dan akan terus dilaksanakan dalam usaha membangun dan mendayaupayakan wanita, keluarga dan masyarakat Malaysia. 

Perubahan yang dibawa kepada perspektif wanita, keluarga dan masyarakat jelas menunjukkan pengiktirafan dan sokongan yang diberikan kepada golongan ini. 

Peningkatan akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan dan perubahan sosio-budaya dalam masyarakat telah membolehkan rakyat bergerak progresif dan berpeluang menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara.

Sokongan dan kepercayaan yang diberikan telah menjadikan KPWKM sebagai salah sebuah kementerian yang aktif dan peka dengan keperluan masyarakat. Melalui kementerian ini, tenaga serta sumbang saran dan pemikiran pelbagai pihak telah digembleng dalam proses menambah baik kualiti kehidupan serta meningkatkan taraf wanita, keluarga dan masyarakat negara ini - selaras dengan gagasan 1Malaysia. 


Wanita Malaysia Membela Maruah

Buku ini menonjolkan pengiktirafan kerajaan kepada sumbangan yang telah diberikan oleh wanita negara ini. Sesungguhnya kerajaan sentiasa komited dan prihatin terhadap kemajuan kaum wanita Malaysia. 
 

Pelbagai usaha telah dilakukan bagi memelihara dan melindungi hak dan kepentingan kaum wanita, sama ada melalui dasar dan perundangan mahupun pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti. 

Dalam bidang kerjaya, semakin ramai wanita Malaysia telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, pegawai kanan atau pembuat keputusan dalam pelbagai organisasi. Wanita juga telah menunjukkan bakat dan kebolehan mereka dalam kepimpinan politik dan sektor sosial. 

Buku ini membawa wanita Malaysia merenung kembali apa yang telah dan akan disumbangkan oleh mereka dalam mengangkat maruah kaum Hawa. 

Perjuangan Politik Wanita Malaysia

Wanita-wanita Malaysia yang terlibat dalam politik telah menunjukkan kesetiaan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada parti-parti yang mereka perjuangkan bersama.
Ahli-ahli politik wanita yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama tidak pernah kenal erti susah payah dalam perjuangan membantu parti masing-masing supaya terus kukuh dan bersatu. 

Mereka wanita gigih yang tidak kenal erti penat dalam memastikan negara ini terus aman damai. 

Pejuang Wanita UMNO telah memainkan peranan yang begitu aktif, dari semenjak negara belum merdeka sehingga hari ini. Begitu juga sumbangan pemimpin dan anggota parti politik wanita dalam MCA, MIC, Gerakan, PPP, parti komponen Barisan Nasional di Sabah dan Sarawak.

Perjuangan politik wanita Malaysia tidak boleh terhenti setakat apa yang dicapai kini, kerana negara sudah masuk fasa kedua 50 tahun merdeka. 

Dalam usaha mencapai status negara maju, peranan politik wanita semakin rumit. Wanita harus bekerja keras bagi memastikan kedudukan dan peranan mereka terus relevan dalam era globalisasi dan liberalisasi. 

Buku ini dapat membawa ahli-ahli politik wanita Malaysia khasnya anggota Wanita Barisan Nasional merenung kembali sumbangan besar mereka kepada parti dan supaya mereka lebih peka dan insaf kepada perjuangan dan tanggungjawab sebagai anggota parti. 

Buku Perjuangan Politik Wanita Malaysia ini besar maknanya dalam merekodkan sejarah perjuangan dan penglibatan politik wanita negara ini. 


Wanita dan Politik Malaysia

Buku ini pula kisah pemimpin politik wanita yang berkorban dan berjuang demi mencapai kemerdekaan. Sumbangan tokoh-tokoh wanita ini menjadi inspirasi kepada wanita sekarang dan akan datang untuk menggembleng tenaga bagi mendapatkan ruang dan peluang di negara merdeka ini.

Kini wanita berjaya memecah tradisi yang menyekat kemajuan kaum Hawa dalam semua bidang. Dalam bidang kepimpinan dan politik telah ramai kaum wanita berwibawa dan dihormati muncul membuktikan kebolehan dan kewibawaan mereka.

Buku ini boleh dianggap satu legasi yang menarik untuk dijadikan pembakar semangat supaya sama-sama membangunkan negara.

Keempat-empat buku ini berkonsep coffee table. Di samping fakta dan sejarah, ia penuh dengan gambar-gambar klasik dan terkini yang menarik untuk dimiliki.

No comments:

Post a Comment