Thursday, May 1, 2014

SELAMAT HARI PEKERJA 2014 - PERUTUSAN TSMY


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan terus menghargai dan mengiktiraf sumbangan serta jasa warga pekerja di negara ini terhadap kemajuan negara.

Dalam kenyataan sempena Hari Pekerja esok, beliau berkata ketika ini, kadar pengangguran negara adalah antara yang terendah di dunia iaitu 3.2 peratus dan ekonomi negara dijangka berkembang antara lima dan 5.5 peratus tahun ini.

Beliau berkata selain keamanan yang wujud, sokongan dan sumbangan golongan pekerja kepada usaha dan dasar kerajaan juga merupakan 'tulang belakang' kepada kemajuan negara selama ini.

"Warga pekerja di negara kita amat bertuah kerana sekali lagi dapat menyambut Hari Pekerja tahun ini dalam keadaan persekitaran ekonomi negara yang terus berkembang," katanya.

Sempena Hari Pekerja, Muhyiddin berharap hubungan antara kerajaan dan warga pekerja serta kesatuan-kesatuan pekerja akan menjadi bertambah baik.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga pekerja yang telah tekun bekerja untuk memacu negara kita ke arah negara berpendapatan tinggi. Tanpa anda semua warga pekerja yang tekun dan berdedikasi, negara kita tidak mungkin dapat mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

"Negara sangat menghargai sumbangan saudara-saudari semua. Selamat menyambut Hari Pekerja 2014," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment