Agak sukar untuk seseorang itu khususnya wanita Melayu hendak
memulakan sesuatu senaman terutamanya jika individu tersebut sememangnya
jarang bersenam.
Sudah terlalu banyak program-program kesedaran amalan gaya hidup
sihat yang diadakan oleh kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan
(NGO), namun sejauh mana kesedaran wanita Melayu tentang perkara ini
masih menjadi titik persoalan.
Kaum wanita melalui pelbagai perubahan fizikal dalam kehidupan mereka
dari zaman remaja, seterusnya ke fasa kehamilan, kemudian menjadi
seorang ibu sehinggalah sampai ke tahap menopaus.
Oleh sebab terlalu banyak fasa yang perlu ditempuhi oleh golongan
wanita, mereka perlu mengekalkan kehidupan aktif untuk membantu membina
kecergasan selain memberi tenaga untuk menjalani hari yang sibuk.
Jika ditinjau, wanita Cina mempunyai kesedaran yang amat tinggi
tentang amalan gaya hidup sihat dan tidak hairanlah hanya kelibat mereka
sahaja yang melakukan senaman pada setiap pagi dan petang di
taman-taman rekreasi.
Selain melakukan senaman tai chi dan yoga, mereka juga mengamalkan
pemakanan yang sihat dengan mengambil sayur-sayuran, minum air putih
serta mengamalkan pengambilan jus buah-buahan untuk penjagaan kesihatan
yang lebih baik.
Kajian menunjukkan bahawa wanita Cina mempunyai jangka hayat paling
lama iaitu 79.8 tahun, wanita India (76.2 tahun), wanita Bumiputera
(75.3 tahun), lelaki Cina (74.4 tahun), lelaki Bumiputera (70.5 tahun)
dan lelaki India (68 tahun).
Tidak mustahil mereka mampu hidup lebih lama dan kekal sihat walaupun
pada usia emas atas faktor-faktor amalan penjagaan kesihatan yang baik.
Alasan seperti kurang bertenaga, tak larat, semput, sudah berusia,
tiada masa, malu, tiada pakaian yang sesuai, dan ketiadaan kemudahan
untuk muslimah menjadi antara alasan wanita Melayu tidak mahu bersenam.
Tanpa sedar, kita memandang remeh dan kurang peka tentang kepentingan
penjagaan kesihatan, walaupun amalan gaya hidup sihat boleh
mengurangkan risiko pelbagai penyakit.
Senaman jelasnya, adalah satu aspek yang penting bagi mereka yang mahu
mengurangkan berat badan dan sekiranya seseorang telah memulakan pelan
pemakanan yang sihat dan seimbang, senaman akan membantu mempercepatkan
lagi proses pengurangan berat badan dan pembakaran lemak tersebut dan
mengelakkan pelbagai permasalahan yang mungkin dihadapi sekiranya
mempunyai berat badan yang tinggi atau obes.
No comments:
Post a Comment