Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Tuesday, July 15, 2014

PUASA BERI KESAN KE ATAS BADAN


Ramadhan merupakan bulan di mana orang Islam berpuasa di siang hari, sebelum berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan menjelang malam. Ibadat puasa juga dijalankan pada hari-hari tertentu untuk agama lain serta bagi yang ingin mengurangkan berat badan. Kajian menunjukkan puasa juga mempunyai kelebihan tersendiri terhadap kesihatan jika dijalankan dengan disiplin yang bersesuaian. Berikut ialah kesan positif berpuasa terhadap kesihatan

Fungsi Otak

Berpuasa dalam jangka masa pendek mungkin dapat menggalakkan proses Autogphagy , suatu proses di mana sel otak dapat mengitar semula sel buangan, serta membaiki proses pembaziran sel. Berpuasa juga dikatakan dapat meningkatkan tahap Brain-Derived Neurotrophic Factor (BDNF), iaitu sejenis protein yang membantu kerja-kerja di bahagian otak yang memproses memori, pembelajaran dan fungsi kognitif kompleks. Paras BDNF yang rendah dikaitkan dengan penyakit Alzheimers. 

Pengurangan Berat Badan

Berpuasa mengurangkan kadar pengambilan kalori serta membolehkan pengawalan berat badan. Ia juga mengurangkan risiko penyakit berkaitan metabolisma badan selain meningkatkan pembakaran lemak. 

Insulin

Berpuasa secara berkala dapat menbantu meningkatkan sensitiviti badan terhadap insulin serta mengurangkan daya tahan insulin. Oleh kerana berpuasa mengakibatkan kelaparan atau stress, badan akan memlepaskan lebih banyak kolestrol, memboleh badan menggunakan lemak sebagai sumber tenaga, menggantikan glukosa. Sel lemak dalam badan yang berkurangan membolehkan ia mempunyai daya tahan insulin/ diabetis yang lebih baik selain mengurangkan risiko arteri coronary tersumbat. 

Kolesterol, triglyceride and ghrelin

Berpuasa menaikkan tahap kolestrol baik dan buruk di dalam badan, Tahap Triglyceride yang semakin berkurang juga mengurangkan risiko penyakit berkaitan jantung. 

Berpuasa meningkatkan paras ghrelin ( hormon berkaitan kelaparan) untuk mengurangkan pemakanan berlebihan.


Monday, May 19, 2014

PERIKSA LABEL MAKANAN DAHULU SEBELUM MEMBELI


Percaya atau tidak, hampir 74 peratus golongan ibu yang mempunyai anak yang berusia satu hingga tiga tahun di negara ini tidak mengamalkan pembacaan label makanan iaitu penyenaraian tahap kandungan nutrien di sesuatu produk makanan.

Lebih malang, ramai yang tidak menyedari kepentingan gabungan nutrisi kepada anak-anak mereka.

Mengikut tinjauan mendapati golongan ibu bapa hanya menitikberatkan pemberian susu yang mempunyai khasiat susu tumbesaran. Walau bagaimanapun, lebih daripada 80 peratus ibu tidak mengetahui langsung akan kandungan bahan tersebut.

Tidak ada sebarang nutrien dalam kelas khusus yang boleh membangunkan fizikal dan mental secara keseluruhan. Segala-galanya bergantung kepada kombinasi nutrien yang dihantar dalam nisbah yang secukupnya bagi menyokong perkembangan anak-anak.

Sebanyak 68 peratus ibu bergantung kepada cadangan kawan-kawan dan keluarga sebelum membeli susu untuk anak-anak mereka.

Beberapa tip ketika membaca kandungan label makanan iaitu jangan membeli sesuatu makanan hanya dengan melihat pakej pembungkusan, sebaliknya membandingkan Panel Maklumat Nutrisi (NIP).

Selain itu, ketika membandingkan kandungan nutrisi antara jenama berbeza, seseorang boleh mengenal pasti nilai tinggi dan rendah kandungan nutrisinya.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa kandungan nutrien hanya boleh diukur dengan 100 gram (g) atau 100 mililiter (ml) bagi sesuatu produk. Begitupun, pengguna boleh merujuk kepada pakar pemakanan bagi mendapatkan panduan selanjutnya.

Hampir 81 peratus ibu menyedari tentang keburukan makanan segera dan minuman ringan. Ini adalah satu perkembangan yang positif. Sekurang-kurangnya mereka mengetahui tentang keburukan kedua-dua jenis makanan berkenaan.

Jika sebelum ini terdapat dakwaan mengenai makanan kantin di sekolah punca kanak-kanak obesiti, ia sama sekali tidak berasas. Ia memandangkan makanan sihat bermula dari rumah. Untuk itu, ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik kepada anak-anak dengan merujuk kepada piramid panduan makanan.



Untuk maklumat lanjut, sila layari laman NUTRIWEB

Wednesday, May 7, 2014

KENAPA WANITA GEMUK DAN GENDUT?

10 Punca Masalah Kegemukan Wanita Malaysia;

1. Tenaga yang tidak seimbang di dalam badan

Untuk memastikan bahawa berat anda berada pada BMI atau berat normal yang ideal, anda perlu memastikan bahawa nilai tenaga yang ada di dalam tubuh anda berada pada kadar yang normal dan seimbang.

Seimbang ini bermakna nilai kalori dan tenaga yang anda perolehi mestilah berada pada kadar yang sama dengan jumlah tenaga yang anda keluarkan.

Tenaga atau kalori akan diperoleh melalui pemakanan manakala ianya akan dikeluarkan melalui aktiviti-aktiviti, senaman dan sebagainya.

Justeru, pastikan bahawa anda sentiasa menyeimbangkan nilai kalori dan tenaga yang ada di dalam tubuh anda.
Banyakkan aktiviti riadah, kurangkanlah pengambilan kalori.

2. Gaya Hidup yang kurang aktif

Ini ramai yang buat. Ramai di kalangan kita yang sering mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat. Ringkasnya, gaya hidup yang tak aktif.

Mengikut kajian, dengan menonton televisyen atau berada di hadapan komputer selama dua jam sehari secara berterusan, boleh dikaitkan dengan risiko penambahan berat badan!

Betul, kita tak boleh nak elakkan hal ni. “Dah aku kerja memang menghadap komputer, nak buat macamana?” Ya, sebab itu gaya hidup ini juga memainkan peranan yang cukup besar sekali dalam menentukan berat badan anda.

Kalau kita lihat juga dengan pembangunan ekonomi negara kita dan dunialah secara amnya, kita memang tidak boleh nak menyangkal bahawa dunia semakin mengorak ke depan dan maju. Gaya hidup pun dah semakin jauh berubah.

Kalau dulu, datuk dan nenek kita mampu berjalan beratus-ratus meter untuk ke kebun, kita hari ni bagaimana pula? Ke kedai nak beli surat khabar pun naik kereta. Itulah dunia.

3. Genetik dan faktor keluarga

Yang ini semua tak boleh nak elak. “Dah emak saya badan besar, dah bapa saya gemuk, nak buat macam mana? Kena terimalah. Redha sajalah apa yang ada” Tapi, ingat.. anda juga perlu berusaha!!

Ya, kebarangkalian untuk anda menjadi gemuk adalah jauh lebih tinggi jika kedua ibu bapa anda turut gemuk.

Hasil kajian mendapati genetik juga mempengaruhi kadar pembetukan lemak di dalam tubuh anda. Ia juga mempengaruhi di mana dan bagaimana lemak-lemak itu bakal terkumpul di dalam anggota tubuh. Semua ini bergantung pada faktor keluarga dan genetik.

4. Faktor kesihatan

Beberapa jenis penyakit juga dikaitkan dengan faktor kegemukan. Antaranya ialah hypothyroidism (kekurangan hormon tiroid di dalam tubuh), cushing syndrome dan polycstic ovarian syndrome.

Kekurangan hormon tiroid di dalam tubuh akan merendahkan kadar metabolisme di dalam badan. Ini akan mengurangkan lagi nilai-nilai tenaga yang akan dikeluarkan, dan secara langsung akan meningkatkan berat badan anda.

 5. Ubat-ubatan

Ubat yang anda gunakan juga boleh mempengaruhi akan berat badan seperti antidepresi, corticosteroid dan sebagainya. Sesetengah ubat yang diambil boleh merendahkan kadar pembakaran kalori di dalam tubuh kita.
Ada juga yang secara tidak langsung mampu meningkatkan selera makan dan meningkatkan pengumpulan jumlah air di dalam tubuh.
6. Faktor emosi

Emosi juga memainkan peranan. Bila emosi kita terganggu, biasanya keseluruhan hidup kita juga akan terganggu,benar bukan?

Bila anda tertekan, marah, stress, boring dan sebagainya, ini secara langsung akan mempengaruhi kadar pemakanan anda.

Ramai orang yang sedang berada di dalam keadaan ini akan mengambil lebih makanan untuk cuba meredakan tekanan hidup, untuk menghilangkan stres mereka ketika itu.
7. Merokok

Ya, ini untuk mereka yang merokok. Boleh juga dikatakan berita gembira buat mereka semua.

Mengikut kajian, merokok ini dapat mengurangkan berat badan seseorang. Ini kerana nikotin yang terkandung di dalam rokok itu dapat meningkatkan lagi kadar pembakaran kalori di dalam tubuh.

Ha, sebab itulah kita selalu lihat ramai kawan-kawan kita yang berhenti merokok ni banyak selera makan. Sebab apa, ya? Ini kerana apabila mereka berhenti merokok, badan mereka akan membakar kalori dengan kadar yang lebih rendah, lebih lambat berbanding sebelumnya. Lemak-lemak pun lebih lambat untuk dibakar.

Kalau semasa dulu mereka merokok, ada nikotin untuk meningkatkan pembakaran kalori, sekarang sudah tidak ada lagi. Kalau dulu nikotin boleh membantu untuk jadi kurus, sekarang telah tiada.

Jadi, sebab itulah mereka lebih gemuk selepas berhenti merokok, kerana mereka membakar nilai kalori lebih rendah setelah berhenti merokok.

 8. Umur

Bila anda semakin berusia, anda akan mula kehilangan nilai dan kuantiti otot-otot anda, lebih-lebih lagi bagi mereka yang kurang aktif. Kekurangan otot-otot secara tidak langsung akan merendahkan kadar pembakaran kalori di dalam tubuh dan seterusnya meningkatkan lagi risiko penambahan berat badan.

Justeru, jika anda gagal untuk menurunkan nilai kalori yang ada di dalam tubuh anda, anda adalah lebih berisiko untuk mendapat kegemukan.

 9. Mengandung (Hamil)

Mengandung juga mempengaruhi kadar kegemukan anda. Ketika wanita hamil, mereka memerlukan lebih tenaga dan kalori untuk turut sama diperolehi anak mereka di dalam kandungan.

Ramai wanita-wanita yang mengadu bahawa mereka sukar untuk mengembalikan berat badan mereka yang ideal selepas melahirkan anak.

10. Kurang tidur

Ya, kurang tidur pun adalah satu punca bagi masalah kegemukan. Apabila anda kurang tidur, anda turut mengalami risiko pertambahan berat badan.

Hormon yang dikeluarkan oleh tubuh semasa anda tidur akan mengawal kadar selera makan anda, juga akan mengawal kadar penggunaan tenaga yang ada di dalam tubuh anda.

Contohnya, hormon insulin akan mengawal kandungan gula di dalam tubuh anda ketika anda tidur. Justeru, apabila anda kurang mendapat tidur, jangan terkejut jika nilai kandungan tenaga dan gula yang ada di dalam tubuh anda berada hampir sama dengan penghidap penyakit diabetes.

Thursday, April 17, 2014

GHAIRAH UNTUK CANTIK ... AKHIRNYA MERUGIKAN

CANTIK?

Wanita cepat terpengaruh dengan mempercayai 'cakap-cakap orang' mengenai keajaiban sesuatu rawatan kecantikan seperti menyedut lemak tanpa memikirkan pelbagai risiko yang bakal ditanggung, termasuk kematian demi untuk kelihatan menawan dan bertubuh langsing.

Cakap 'mulut ke mulut' mengenai kehebatan sesuatu pusat rawatan yang boleh mengubah penampilan serta personaliti mereka turut mendorong sesetengah wanita itu mengunjungi pusat rawatan tanpa menyelidik latar belakang, bahan digunakan serta melihat sama ada ia bersesuaian dengan diri.

Selain itu, lambakan iklan sama ada dalam media massa, internet dan blog yang menawarkan rawatan kecantikan serta pembedahan kosmetik dengan menonjolkan hasil kejayaan individu yang sudah menjalani rawatan dan menggunakan frasa memikat, menjadikan mereka terpengaruh serta percaya bulat-bulat sehingga mendorong untuk mencubanya.

Kerana ingin mendapatkan hasil lebih cepat, mereka juga sanggup berbelanja besar membayar kos yang tinggi bagi menyedut lemak menerusi pembedahan kontur tubuh daripada mengambil pil diet, bersenam atau mengurangkan pengambilan sesuatu makanan.

Hasil penyedutan selulit boleh dilakukan menerusi pembedahan sedut lemak (liposculpture) bagi yang tidak begitu begitu banyak, manakala yang mempunyai tahap selulit banyak boleh dilakukan pemotongan lemak (excisional surgery).

'Malang tidak berbau', keghairahan dan kesilapan mereka mengunjungi pusat rawatan kecantikan yang tidak berdaftar dan bertauliah memburukkan lagi keadaan apabila berlaku rawatan berkenaan tidak berkesan, memberikan kesan sampingan, menyebabkan kompilasi lain termasuk kematian.

Beberapa kes kematian dilaporkan sebelum ini gara-gara menyedut lemak. Terbaru membabitkan seorang penjual barang kraf tangan, yang bertekad mahu memberi kejutan kepada suaminya untuk menguruskan badan yang dikatakan naik 10 kilogram kepada 60 kilogram, maut selepas 20 minit menerima suntikan bius bagi pembedahan sedut lemak di sebuah klinik pada 17 Disember lalu.

Apa yang penting, mereka seharusnya mengunjungi hospital atau pusat perubatan berdaftar dan pakar bertauliah untuk mendapatkan rawatan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini. Orang ramai perlu tahu latar belakang setiap pusat rawatan dan bahan digunakan sama ada ia akan mendatangkan kesan jangka pendek dan panjang.

"Malangnya, ramai wanita yang tidak tahu dan pasti mengenai latar belakang pusat rawatan itu. Ada yang kita dengar sebahagian daripada pusat kecantikan yang bermasalah adalah di kalangan yang tidak berdaftar. Kelemahan dari segi pemantauan terhadap pusat itu menjadikan ia semakin sukar untuk mengesan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang," katanya.

Beliau berkata, apa yang penting, sesiapa saja yang ingin mendapatkan sebarang rawatan kecantikan sepatutnya mengetahui adakah ia bersesuaian dengan dirinya.
 
Ada kalanya rawatan itu akan memberikan reaksi dan kesan pada diri. Jika mereka mempunyai sebarang penyakit dan tidak serasi dengan ubat yang diambil akan menyebabkan kompilasi penyakit lain.

Mana-mana klinik dan pusat kesihatan swasta perlu menyediakan peralatan lengkap supaya apabila berlaku masalah ia dapat dirawat segera tanpa perlu merujuk kepada hospital dan doktor pakar lain.

Pengguna juga sepatutnya membuat rujukan dan memahami mengenai rawatan yang dilakukan menerusi pembacaan atau mendapatkan nasihat daripada pakar.

Persatuan Pengguna Standard Malaysia boleh dijadikan pusat rujukan dan mempunyai maklumat mengenai pembedahan dan rawatan kosmetik, termasuk dari segi prosedur sesuatu rawatan dan tindakan yang boleh diambil pengguna jika menghadapi sebarang perkara tidak diingini.

Diharap pusat kecantikan lebih bertanggungjawab dengan mengikut garis panduan dalam menawarkan khidmatnya dan bukannya mengutamakan keuntungan.
 

Friday, April 4, 2014

WANITA MELAYU PALING MALAS BERSENAM

Agak sukar untuk seseorang itu khususnya wanita Melayu hendak memulakan sesuatu senaman terutamanya jika individu tersebut sememangnya jarang bersenam.

Sudah terlalu banyak program-program kesedaran amalan gaya hidup sihat yang diadakan oleh kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO), namun sejauh mana kesedaran wanita Melayu tentang perkara ini masih menjadi titik persoalan.

Kaum wanita melalui pelbagai perubahan fizikal dalam kehidupan mereka dari zaman remaja, seterusnya ke fasa kehamilan, kemudian menjadi seorang ibu sehinggalah sampai ke tahap menopaus. 

Oleh sebab terlalu banyak fasa yang perlu ditempuhi oleh golongan wanita, mereka perlu mengekalkan kehidupan aktif untuk membantu membina kecergasan selain memberi tenaga untuk menjalani hari yang sibuk.

Jika ditinjau, wanita Cina mempunyai kesedaran yang amat tinggi tentang amalan gaya hidup sihat dan tidak hairanlah hanya kelibat mereka sahaja yang melakukan senaman pada setiap pagi dan petang di taman-taman rekreasi. 

Selain melakukan senaman tai chi dan yoga, mereka juga mengamalkan pemakanan yang sihat dengan mengambil sayur-sayuran, minum air putih serta mengamalkan pengambilan jus buah-buahan untuk penjagaan kesihatan yang lebih baik.

Kajian menunjukkan bahawa wanita Cina mempunyai jangka hayat paling lama iaitu 79.8 tahun, wanita India (76.2 tahun), wanita Bumiputera (75.3 tahun), lelaki Cina (74.4 tahun), lelaki Bumiputera (70.5 tahun) dan lelaki India (68 tahun).

Tidak mustahil mereka mampu hidup lebih lama dan kekal sihat walaupun pada usia emas atas faktor-faktor amalan penjagaan kesihatan yang baik.

Alasan seperti kurang bertenaga, tak larat, semput, sudah berusia, tiada masa, malu, tiada pakaian yang sesuai, dan ketiadaan kemudahan untuk muslimah menjadi antara alasan wanita Melayu tidak mahu bersenam.

Tanpa sedar, kita memandang remeh dan kurang peka tentang kepentingan penjagaan kesihatan, walaupun amalan gaya hidup sihat boleh mengurangkan risiko pelbagai penyakit.

Senaman jelasnya, adalah satu aspek yang penting bagi mereka yang mahu mengurangkan berat badan dan sekiranya seseorang telah memulakan pelan pemakanan yang sihat dan seimbang, senaman akan membantu mempercepatkan lagi proses pengurangan berat badan dan pembakaran lemak tersebut dan mengelakkan pelbagai permasalahan yang mungkin dihadapi sekiranya mempunyai berat badan yang tinggi atau obes.