Friday, April 25, 2014

MENTERI SURUHANJAYA PENGANGKUTAN AWAM DARAT (SPAD) ...SEORANG WANITA

YB Nancy Shukri

Kali ini kita berkenalan dengan seorang ahli Parlimen wanita dari Sarawak yang juga telah dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana yang dipertanggungjawab ke atas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

YB Nancy Shukri telah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri setelah berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Batang Sadong pada PRU13 lalu bagi penggal kedua. Berusia 52 tahun, beliau adalah pemegang ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari University of Hull, UK (1990). Selain itu beliau turut memiliki Sarjana Eksekutif Pentadbiran Perniagaan UiTM - OHIO Universiti (1998) (Beta Gamma Sigma Kehormat Anugerah) dan Diploma Pentadbiran Awam ITM Shah Alam (1985).

Dengan kelayakan yang dimiliknya, maka tidak mengejutkan apabila Nancy, yang juga bekas Pengarah Perkhidmatan Undang-undang Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU)  selama 11 tahun sejak 1992 dan pernah menjadi setiausaha politik kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dilantik sebagai Menteri di JPM yang  bertanggungjawab ke atas 11 agensi.

YB bersama Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar
Antara agensi di bawah tanggungjawabnya ialah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Bahagian Hal Ehwal Undang Undang (BHEUU), Jabatan Biro Guaman, Amanah Raya Berhad (ARB), Jabatan Insolvensi Malaysia  dan Suruhanjaya Kehakiman dan Perkhidmatan Perundangan.

Dalam pertemuan di bangunan parlimen baru-baru ini, Nancy yang juga penolong setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, berkata beliau teruja dengan kepercayaan yang  diberikan oleh Perdana Menteri terhadapnya.

Antara agensi di bawah jagaannya, SPAD boleh dianggap sebagai agensi yang kerap menjadi perhatian kerana ia membabitkan kepentingan ramai, iaitu pengangkutan awam  darat. Sejak penubuhannya tiga tahun lalu, SPAD sering menjadi sasaran pembangkang khususnya dan orangramai amnya terutama berhubung isu perkhidmatan teksi dan bas yang sering membawa masalah.

"Saya akui selama ini saya hanya membaca dan mendengar mengenai SPAD. Oleh kerana itu masih banyak yang saya perlu pelajari. Mujurlah saya mendapat kerjasama daripada  pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar yang memberikan banyak penerangan dan bimbingan.

"Tetapi mendengar sahaja tak cukup. Saya perlu merasakan pengalamannya. Oleh itu dalam masa terdekat ini saya bercadang turun ke bawah dan mencuba pengalaman menaiki LRT, Monorel dan Go-KL. Kesemua kemudahan ini tidak ada di Sarawak," katanya.

Nancy berkata beliau tidak takut menghadapi kritikan dan bersedia menerima teguran kerana ia adalah lumrah pekerjaan. Malah, Nancy yakin dengan kebolehan dan kerjasama setiap  ketua dan kakitangan agensi-agensi di bawah kementeriannya, tugasnya tidak akan menjadi sukar.
 
Malah Nancy tidak segan mengakui beliau tidak pernah menaiki teksi di Kuala  Lumpur dan bersedia menyahut cabaran wartawan Agendadaily untuk mencubanya dalam masa terdekat sebagai salah satu usaha memahami masalah perkhidmatan teksi.


Ditanya mengapa SPAD diletakkan di bawah JPM dan bukannya Kementerian Pengangkutan, Nancy berkata ia bertujuan untuk memudahkan kerajaan membuat pemantauan kerana Pelan Transformasi Kenderaan Pengangkutan Awam termasuk dalam Pelan Transformasi Kerajaan. Katanya dengan meletakkan SPAD di bawah JPM kerajaan dapat memberi fokus terhadap keberkesanannya.

Menurut Nancy, berada di barisan hadapan parlimen (sebagai Menteri) dibandingkan sebagai barisan belakang (back-benchers) sebelum ini, adalah lebih mencabar. "Jika dahulu kita yang mengajukan soalan kepada Menteri, tetapi kini kita pula yang menjawab. Selain menjawab, kita juga berdepan dengan pelbagai jenis karenah. Tetapi apapun, saya sudah bersedia menggalas sebarang cabaran," katanya

No comments:

Post a Comment