Monday, April 14, 2014

NILAI KESUCIAN GADIS MELAYU DAHULU DAN SEKARANG



Amina al-Filali, 16 tahun, akhirnya membunuh diri. Gadis yang tinggal di Rabat, Maghribi ini nekad meminum racun tikus ekoran keluarganya memaksanya berkahwin dengan seorang pemuda yang merogolnya.

Mengikut budaya orang Maghribi, gadis di bawah usia 18 tahun yang dirogol akan dipaksa berkahwin dengan perogolnya. Hal ini demikian kerana bagi orang Maghribi, satu aib yang besar jika seseorang gadis itu hilang dara tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Bahkan, undang-undang di Maghribi menetapkan bahawa perogol akan terlepas daripada sebarang hukuman sekiranya memilih untuk berkahwin dengan mangsanya.

Amina yang tidak sanggup mengikut budaya itu akhirnya membunuh diri pada 17 Mac lalu. Seluruh Maghribi gempar dengan kejadian ini. Lantas pada 15 Mac lalu, rakyat Maghribi melancarkan demonstrasi besar-besaran di Rabat bagi mendesak kerajaan melakukan pindaan terhadap undang-undang yang didakwa menindas wanita.

Senario yang berlaku di Rabat ini amat sesuai untuk dijadikan perbandingan dengan senario yang berlaku di Malaysia. Dahulu orang Melayu seperti juga orang Maghribi, menganggap anak gadis yang hilang dara tanpa ikatan perkahwinan yang sah merupakan satu keaiban yang besar kepada keluarga. Bahkan, dalam upacara perkahwinan orang Melayu dahulu, terdapat acara tertentu yang dilakukan oleh mak andam terhadap pengantin perempuan untuk menguji kesuciannya. Jika didapati pengantin perempuan bukan lagi dara, besarlah keaiban yang ditanggung oleh keluarga pengantin perempuan. Oleh sebab itu, muncul pepatah Melayu, “kelapa sudah ditebuk tupai”, yang khusus merujuk kedaraan seseorang gadis.

Mutakhir ini, isu kesucian gadis Melayu kembali diperdebatkan, tetapi dalam konteks yang berlainan. Orang Melayu sekarang berada di laluan yang cukup getir, apabila banyak gadis Melayu yang terlibat dalam hubungan seks sebelum nikah dan pembuangan bayi.

Buktinya, pada Ogos 2010, sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai Pengarah Pusat Kokurikulum UPM, Profesor Madya Dr. Mohamad Shatar Shabran, membuat kajian tentang masalah sosial dalam kalangan remaja Melayu. Hasil kajian itu mendapati bahawa 85 peratus daripada 300 orang responden orang remaja Melayu (berusia antara 15 hingga 25 tahun) di bandar dan luar bandar, mengaku terlibat dalam salah laku seks bebas sehingga ada yang menggugurkan janin dan membuang bayi.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, dari Disember 2006 hingga Disember 2010, sejumlah 214 033 ribu bayi luar nikah didaftarkan di negara ini dan daripada jumlah itu 74,723 orang merupakan bayi yang berbangsa Melayu. Statistik yang dikeluarkan oleh JPN ini belum mengambil kira kes pembuangan bayi di negara ini yang majoritinya melibatkan bayi Melayu.

Budaya hidup orang Melayu nyata berubah mengikut peredaran zaman. Dari sudut pembelaan terhadap hak golongan wanita, Malaysia jauh lebih terkedepan daripada negara Islam lain. Dalam kes rogol misalnya, negara ini mempunyai undang-undang yang cukup tegas, terutamanya bagi kes rogol gadis di bawah umur. 

Bukan seperti Maghribi, Malaysia tidak memberikan apa-apa pengecualian hukuman terhadap perogol yang mahu berkahwin dengan mangsanya. Pada masa yang sama, Mahkamah Seksyen Kota Bharu, baru sahaja menjatuhkan hukuman 24 tahun penjara dan 13 sebatan terhadap seorang perogol bersiri akibat dua kesalahan merogol yang dilakukan oleh tertuduh tahun lalu.

Namun begitu, sekeras mana pun undang-undang, semuanya tiada guna jika segelintir gadis Melayu hilang kesantunan dalam tingkah-laku mereka. Semuanya sia-sia apabila mereka sendiri menggadaikan maruah demi mengikut hawa nafsu. Jika di negara Islam lain rakyatnya berdemonstrasi untuk menuntut maruah gadis mereka dilindungi, ironinya di negara ini, ada gadis Melayu yang tidak ambil peduli lagi kesucian diri mereka.

No comments:

Post a Comment