Monday, April 14, 2014

MESEJ DARI PENJARA dalam Wanita Hari Ini



Wanita Hari Ini (WHI) merupakan program bual bicara yang bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 12.00 tengahari hingga 1.00 petang mengkhususkan topik-topik kaum hawa yang merangkumi isu kewanitaan, kekeluargaan, kesihatan, keinsafan dan fesyen. WHI terus menjadi pilihan dan rujukan utama golongan wanita di negara ini selepas 13 tahun program ini disiarkan.

Sejak bulan Oktober 2013, WHI telah bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia untuk segmen ‘Mesej Dari Penjara’ dengan membawa banduan wanita ke studio dan berkongsi kisah mereka secara langsung dengan penonton bagaimana mereka terbabit dengan jenayah dan luahan kekesalan atas perbuatan mereka. Bersiaran sekali dalam sebulan pada peringkat permulaan, segmen ‘Mesej Dari Penjara ini’ telah menerima sambutan yang positif dalam kalangan penonton WHI.

Pihak TV3 dan produksi WHI amat berbesar hati untuk menerima kunjungan Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri untuk melancarkan segmen ‘Mesej Dari Penjara’ selain hadir sebagai tetamu studio dalam membicarakan topik ini. Oleh itu, secara rasmi segmen tersebut akan bersiaran sebanyak 2 kali dalam sebulan bermula bulan April ini.

Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Alwi Haji Ibrahim, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, YBhg. KJP Dato’ Sri Haji Zulkifli Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Johan Jaaffar, Pengerusi Media Prima Berhad, Dato’ Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Penjara Malaysia dan juga pihak pengurusan kanan Media Prima Berhad.

Program Wanita Hari Ini ialah program pertama yang memecahkan tradisi untuk menemuramah banduan menerusi siaran langsung dalam sejarah penyiaran Malaysia kerana selama ini ia dilakukan secara rakaman atau lakonan semula. Selain itu, kerjasama ini juga melakar sejarah lebih 100 tahun usia dalam penubuhan Jabatan Penjara Malaysia membawa seorang banduan untuk bercakap secara siaran langsung dengan penonton TV. 

    “Segmen ‘Mesej Dari Penjara’ yang bertujuan memberi kesedaran untuk individu dan keluarga ini telah mendapat respon yang positif dari penonton dengan peningkatan kadar tontonan (rating) mencecah 1.3 juta penonton. 

Episod khas menzahirkan kasih sayang seorang ibu yang sedia menerima anaknya pulang ke pangkuan keluarga selepas habis tempoh hukuman yang dikenakan. Linda (bukan nama sebenar) telah dihukum 8 tahun penjara atas kesalahan membunuh tanpa niat. Harus ingat, dorongan dan kasih sayang daripada keluarga akan memberikan semangat kepada bekas banduan untuk memulakan kehidupan baharu selepas dibebaskan nanti.”

Untuk rujukan terbaik bagi kaum wanita, ibu, suri rumah dan perancang keluarga, jangan lupa saksikan Wanita Hari Ini (WHI) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 12.00 tengahari hingga 1.00 petang di TV3!

Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

No comments:

Post a Comment