Sunday, April 13, 2014

KAGUM... BANTU WANITA CELIK UNDANG-UNDANG



Menjadikan wanita celik undang-undang dan tidak kehilangan arah tuju jika menghadapi sebarang masalah memang dinantikan selama ini. Kalau sebelumnya, wanita dikatakan tidak mendapat pembelaan sewajarnya berkaitan tuntutan anak, nafkah mahupun kes perceraian dari pihak terbabit, kini mereka diberi peluang untuk berbuat demikian mengikut saluran yang betul.

Sudah tiba masanya, wanita jangan bersuara lantang untuk mendapat perhatian sebaliknya mengambil tindakan yang agresif membantu wanita yang memerlukan. Masa untuk bertindak sudah pun tiba bagi membuktikan sebarang kes berkaitan wanita patut diadili dengan sewajarnya tanpa sebarang diskriminasi atau prejudis 
terhadap mereka.

Klinik Aduan Guaman Muslimah (Kagum) memberi alternatif dan jalan mudah kepada wanita untuk mengadu masalah mereka di samping cuba menyelesaikan mengikut landasan sebenarnya.

Melalui Kagum akan mewujudkan satu saluran untuk mendidik masyarakat khasnya golongan wanita memahami dan mendalami perkara yang melibatkan perundangan sivil dan syariah.

Untuk memperkuatkannya, Kagum mendapat kerjasama dari 12 orang peguam syarie dan sivil yang bertauliah serta berpengalaman.

Kagum berbeza dari mana-mana badan sebelum ini kerana perkhidmatan guaman yang disediakan dan khidmat runding secara percuma untuk pelanggan.

Jika diperlukan khidmat seorang peguam untuk tuntutan ke mahkamah, Kagum akan mengenakan kadar yang paling minimum mengikut kemampuan individu terlibat.

Kagum telah diusahakan oleh Yayasan Azam Wanita (YAW) yang berpejabat di 14, Jalan Wangsa Setia 4, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. 


No comments:

Post a Comment