Monday, August 11, 2014

PERNIAGAAN WANITA YAKULT DENGAN TIADA PELABURAN PERMULAAN


Wanita Yakult adalah antara penggerak kejayaan Yakult Honsha Co. Ltd., syarikat pengeluar produk minuman berasaskan probiotik terkemuka dunia, Yakult, sejak ia diperkenalkan di pasaran Jepun pada tahun 1935.

Ia diasaskan oleh Dr. Minoru Shirota, seorang doktor perubatan yang menemui sejenis bakteria asid laktik iaitu lactobacillus casei yang dapat memberi kebaikan kepada kesihatan manusia. Beliau juga adalah pengasas syarikat Yakult Honshu.

Mengikut sejarah syarikat, program Wanita Yakult telah diperkenalkan pada 1963 dengan memberi peluang kepada suri rumah di Jepun mendapatkan pendapatan tambahan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.


Idea ini timbul ekoran masyarakat Jepun pada masa itu hidup dalam kemiskinan dan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh para suami, isteri-isteri mereka diberi peluang mendapatkan pendapatan tambahan dengan menjadi jurujual.

Kini, program itu telah telah merebak di luar Jepun seperti di Korea Selatan, Thailand, Filipina, Brazil, Mexico, Argentina dan Malaysia. 

Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Jualan Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd., Hiroshi Hamada berkata, syarikat tersebut telah beroperasi di negara ini hampir lapan tahun dan memulakan khidmat penghantaran ke rumah sejak tahun 2007 dengan melantik seramai enam orang sebagai percubaan.

Sehingga kini lebih 200 orang telah dilantik sebagai Wanita Yakult dan dijangka mencecah 300 orang menjelang akhir tahun.

Di Malaysia, Wanita Yakult boleh ditemui di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Melaka. Syarikat tersebut merancang untuk melaksanakan program Wanita Yakult ke seluruh negara khususnya di bandar-bandar kecil dan luar bandar pada masa akan datang.


Menurut Hiroshi, ternyata program ini mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan. Walaupun terdapat kecurigaan pada permulaannya, namun ia semakin dapat diatasi atas usaha gigih golongan wanita yang terbabit. 

Pada permulaannya, orang ramai agak meragui perkhidmatan ini kerana ada banyak agen jualan yang mencurigakan selalu melawat rumah-rumah untuk menjual barangan atau memperdayakan mangsa-mangsa yang tidak peka. 

Bagaimanapun, selepas mengenali Wanita dan produk-produk Yakult, tanggapan orang ramai berubah menjadi positif.

Walaupun Yakult dijual di kedai-kedai, sambutannya baik kerana ia memberikan satu kemudahan kepada pengguna. Mereka boleh mendapatkan produk segar terus daripada pengilang dan ia dihantar terus ke rumah tanpa sebarang caj tambahan.

Bagaimana Yakult menarik minat wanita di negara ini untuk menjadi jurujual? Malaysia mempunyai budaya dan kehidupan yang berbeza dengan Jepun. Oleh itu, cara untuk mempromosikan Wanita Yakult ini turut berbeza. 

Mencari Wanita Yakult menerusi koordinator jualan dan laman web www.yakult.com.my. Jualan dari rumah ke rumah terutamanya susu agak tidak popular di kalangan masyarakat negara ini. Maka pelbagai strategik telah dijalankan. Nampaknya, sambutan agak memberangsangkan.

Jabatan Perhubungan Awam dan Sains syarikat juga turut memberi sokongan kepada perniagaan Wanita Yakult sebagai sebahagian daripada aktiviti perhubungan awamnya.

Contohnya, pegawai perhubungan awam memberikan ceramah kesihatan dan mengadakan tayangan video berbentuk pendidikan di sekolah-sekolah dan untuk komuniti di kawasan-kawasan kejiranan Wanita Yakult.

Paling penting dalam sistem ini, kata Hiroshi, tiada sebarang pelaburan permulaan yang diperlukan. Jadi sesiapa pun boleh memulakan menjadi Wanita Yakult pada bila-bila masa.

Pendapatan yang diperoleh Wanita Yakult dibayar secara bulanan dan dikira berdasarkan purata bilangan botol dijual setiap hari dalam bulan tersebut. Untuk mereka yang menjual secara purata 200 botol sehari, mereka boleh memperoleh hampir RM2,000 setiap bulan.

Setiap dua tahun, beberapa orang yang menunjukkan prestasi terbaik akan dipilih untuk menghadiri Konvesyen Wanita Yakult di Jepun yang ditaja sepenuhnya. Di sini, usaha keras mereka akan diberi penghargaan. Lawatan ini juga termasuk lawatan pelancongan untuk menikmati dan mengenali budaya Jepun secara lebih dekat.

No comments:

Post a Comment