Wanita Yakult adalah antara penggerak kejayaan Yakult Honsha Co.
Ltd., syarikat pengeluar produk minuman berasaskan probiotik terkemuka
dunia, Yakult, sejak ia diperkenalkan di pasaran Jepun pada tahun 1935.
Ia diasaskan oleh Dr. Minoru Shirota, seorang doktor perubatan yang menemui sejenis bakteria asid laktik iaitu lactobacillus casei yang dapat memberi kebaikan kepada kesihatan manusia. Beliau juga adalah pengasas syarikat Yakult Honshu.
Mengikut sejarah syarikat, program Wanita Yakult telah diperkenalkan
pada 1963 dengan memberi peluang kepada suri rumah di Jepun mendapatkan
pendapatan tambahan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
Idea ini timbul ekoran masyarakat Jepun pada masa itu hidup dalam
kemiskinan dan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh para suami,
isteri-isteri mereka diberi peluang mendapatkan pendapatan tambahan
dengan menjadi jurujual.
Kini, program itu telah telah merebak di luar Jepun seperti di Korea
Selatan, Thailand, Filipina, Brazil, Mexico, Argentina dan Malaysia.
Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Jualan Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd., Hiroshi Hamada berkata,
syarikat tersebut telah beroperasi di negara ini hampir lapan tahun dan
memulakan khidmat penghantaran ke rumah sejak tahun 2007 dengan
melantik seramai enam orang sebagai percubaan.
Sehingga kini lebih 200 orang telah dilantik sebagai Wanita Yakult dan dijangka mencecah 300 orang menjelang akhir tahun.
Di Malaysia, Wanita Yakult boleh ditemui di Selangor, Negeri
Sembilan, Pulau Pinang dan Melaka. Syarikat tersebut merancang untuk
melaksanakan program Wanita Yakult ke seluruh negara khususnya di
bandar-bandar kecil dan luar bandar pada masa akan datang.
Menurut Hiroshi, ternyata program ini mendapat sambutan yang baik
daripada pelanggan. Walaupun terdapat kecurigaan pada permulaannya,
namun ia semakin dapat diatasi atas usaha gigih golongan wanita yang
terbabit.
Pada permulaannya, orang ramai agak meragui perkhidmatan ini kerana
ada banyak agen jualan yang mencurigakan selalu melawat rumah-rumah
untuk menjual barangan atau memperdayakan mangsa-mangsa yang tidak peka.
Bagaimanapun, selepas mengenali Wanita dan produk-produk Yakult, tanggapan orang ramai berubah menjadi positif.
Walaupun Yakult dijual di kedai-kedai, sambutannya baik kerana ia
memberikan satu kemudahan kepada pengguna. Mereka boleh mendapatkan
produk segar terus daripada pengilang dan ia dihantar terus ke rumah
tanpa sebarang caj tambahan.
Bagaimana Yakult menarik minat wanita di negara ini untuk
menjadi jurujual? Malaysia mempunyai budaya dan
kehidupan yang berbeza dengan Jepun. Oleh itu, cara untuk mempromosikan
Wanita Yakult ini turut berbeza.
Mencari Wanita Yakult menerusi koordinator jualan dan laman web www.yakult.com.my. Jualan dari rumah ke rumah terutamanya susu agak tidak
popular di kalangan masyarakat negara ini. Maka pelbagai strategik telah
dijalankan. Nampaknya, sambutan agak memberangsangkan.
Jabatan Perhubungan Awam dan Sains syarikat juga turut memberi
sokongan kepada perniagaan Wanita Yakult sebagai sebahagian daripada
aktiviti perhubungan awamnya.
Contohnya, pegawai perhubungan awam memberikan ceramah kesihatan dan
mengadakan tayangan video berbentuk pendidikan di sekolah-sekolah dan
untuk komuniti di kawasan-kawasan kejiranan Wanita Yakult.
Paling penting dalam sistem ini, kata Hiroshi, tiada sebarang
pelaburan permulaan yang diperlukan. Jadi sesiapa pun boleh memulakan
menjadi Wanita Yakult pada bila-bila masa.
Pendapatan yang diperoleh Wanita Yakult dibayar secara bulanan dan
dikira berdasarkan purata bilangan botol dijual setiap hari dalam bulan
tersebut. Untuk mereka yang menjual secara purata 200 botol sehari,
mereka boleh memperoleh hampir RM2,000 setiap bulan.
Setiap dua tahun, beberapa orang yang menunjukkan prestasi terbaik
akan dipilih untuk menghadiri Konvesyen Wanita Yakult di Jepun yang
ditaja sepenuhnya. Di sini, usaha keras mereka akan diberi penghargaan.
Lawatan ini juga termasuk lawatan pelancongan untuk menikmati dan
mengenali budaya Jepun secara lebih dekat.