Tuesday, June 3, 2014

NENEK 82 TAHUN DI UNI TERBUKA MALAYSIA


Nenek Wan Zainon Wan Abd Manan berusia 82 tahun bertekad untuk sambung pengajian di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di Pusat Pembelajaran Terengganu. Inilah semangat yang perlu dicontohi anak-anak muda terutama cucu-cucunya.

Ketika mereka seusianya memilih untuk menghabiskan waktu dengan keluarga tercinta, ternyata cinta terhadap ilmu begitu utuh dalam diri anak jati Kampung Simpang Tokku, Chabang Tiga, Kuala Terengganu yang membahasakan dirinya dengan panggilan Tok Wan itu, walaupun sudah lebih 28 tahun bersara daripada bidang perguruan.
Semangat yang dimiliki wanita berstatus moyang dan nenek kepada 17 cicit, 29 cucu serta ibu kepada tujuh anak itu sememangnya mengagumkan ramai pihak, apatah lagi beliau antara penuntut tertua di institusi pengajian tinggi (IPT) ketika ini.

Keinginan Tok Wan untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Islam atas kehendak dirinya sendiri selain ingin mengisi waktu terluang dengan sesuatu yang bermakna.

Menurutnya, sebelum menyambung pengajiannya di OUM, beliau banyak mengikuti kelas antaranya kelas bahasa Arab dan al-Quran bagi mengisi masa lapang, tambahan memang minatnya untuk mempelajari dan menguasai bahasa Arab.
Tapi  Tok Wan tidak mengalah walaupun sumber (waktu pembelajaran) terhad, sehinggalah Tok Wan melihat cucu dan cicitnya bermain komputer dan minta mereka ajarkan cara mengguna komputer. Itulah cara Tok Wan mula menambah lebih banyak ilmu dengan mempelajari bahasa Arab secara online seperti di Youtube dan juga VCD.

Ketika Tok Wan menyatakan hasrat untuk belajar, semua ahli keluarga termasuk anak, cucu dan cicit beri sokongan, malah salah seorang menantu Tok Wan pun belajar di tempat yang sama.

Biarpun terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak dan pernah diserang strok yang tidak serius, Tok Wan bersyukur kerana masih diberikan kesihatan yang baik sama ada dari segi  pertuturan dan pendengaran.

Tok Wan juga tidak melihat perbezaan usia yang jauh dengan pelajar lain akan membuatkan dirinya tersisih, sebaliknya perkara itu dilihat kelebihan  di mana semua pelajar dan kakitangan begitu mesra dan banyak membantunya.

Pada kelas pertamanya, Tok Wan telah membuat persediaan rapi termasuk membuat nota sebagai rujukan bagi memudahkannya bertanya kepada pensyarah jika ada perkara yang tidak difahami.

Pengarah Pusat Pembelajaran OUM Terengganu, Mohamad Umbaik Ismail  menganggap kehadiran penuntut berstatus moyang di universiti berkenaan merupakan idola dan contoh kepada pihak lain untuk turut serta belajar walaupun sudah lanjut usia.

Pihak universiti (OUM) sangat berbangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan Tok Wan dan sekalung tahniah kepada beliau kerana begitu bersemangat untuk belajar walaupun bertongkat.

Selaras moto OUM iaitu ‘Universiti untuk Semua’, soal usia, status, atau apa sahaja perkara tidak membantutkan usaha mana-mana pihak untuk  menambah ilmu ke peringkat yang tertinggi.

No comments:

Post a Comment