Tuesday, April 22, 2014

PERMATA NEGARA - SEMINAR ANTARABANGSA AUTISME 2014


KUALA LUMPUR (Bernama) -- Permata Negara (Permata) di bawah projek Permata Pintar dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat serta badan bukan kerajaan Autisme Speaks menganjurkan Seminar Antarabangsa Autisme 2014.
Seminar dua hari berlangsung pada hari ini (Selasa) dan Rabu ini bertema 'Autism Is Not A tragedy, Ignorance Is.' Ia bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat dan berkongsi pandangan dalam pendidikan kanak-kanak autisme di seluruh negara.

Menurut Setiausaha Bahagian Permata, Jabatan Perdana Menteri Datuk Saidatu Akhma Hassan penganjuran itu adalah sebagai satu platform kepada pelaksanaan program intervensi kanak-kanak autisme Program Permata Kurnia yang dijangka bermula Mei tahun hadapan.

Seminar yang julung kalinya diadakan di Malaysia ini dijangka dapat membantu dalam mendidik orang ramai dan meningkatkan sensitiviti masyarakat ke arah membantu individu autisme serta menyokong keperluan keluarga mereka.

Antara penceramah antarabangsa yang akan ditampilkan ialah Prof. Dr. Eric Fomboune dari Oregon Health and Science University, Prof. Dr. Cheryl Dissanayake (La Trobe University, Australia) dan Dr. Wu Ruth Yu Yu (Taipei Teachers University) serta beberapa pakar autisme dalam negara.

PERMATA KURNIA
Saidatu Akhma ditemui Bernama bagi menjelaskan program terbaharu Permata yang menumpukan kepada kaedah pengajaran terbaik untuk kanak-kanak autistik dikenali sebagai Permata Kurnia.

"Permata Kurnia adalah satu program menyeluruh intervensi awal untuk kanak-kanak autistik dan keluarga mereka. Permata mengambil inisiatif ini kerana sehingga ke hari ini, belum ada satu pun pusat penjagaan seumpamanya diwujudkan di negara ini.

"Jika pun ada, ia mungkin agak mahal mencecah RM2,000-RM10,000 sebulan", jelas beliau.

Autisme adalah masalah gangguan perkembangan otak sepanjang hayat yang mempengaruhi bagaimana seseorang penghidap autisme itu berkomunikasi, berinteraksi secara sosial serta memahami dunia di sekeliling mereka dan mengalami masalah tingkahlaku spesifik.

Ia adalah satu keadaan spektrum yang menyebabkan penghidap autisme berhadapan dengan kesukaran tertentu. Keadaan sedemikian akan memberi kesan kepada mereka dalam cara yang berbeza.

"Kanak-kanak autisme boleh dibantu menerusi rawatan terapi dan terapi untuk mereka hanya boleh dijalankan oleh pakar sahaja", jelas Saidatu Akhma.

Bagaimanapun, peranan ibu bapa dan persekitaran yang positif turut membantu merubah tingkahlaku mereka.

Beliau turut menyatakan bahawa sebuah pusat autisme akan dibangunkan di Sentul, Kuala Lumpur. Kerajaan memperuntukkan RM28 juta untuk menubuhkan pusat autisme yang dinamakan Permata Kurnia yang dijangka siap pada 2015.

Program Permata Pintar adalah cetusan Penaung Permata Datin Seri Rosmah Mansor. Pihaknya sedang melihat pendekatan terbaik yang boleh diaplikasikan oleh pusat berkenaan yang boleh menempatkan kira-kira 100 kanak-kanak autisme.

Menurutnya jawatankuasa kerja Permata Kurnia terdiri daripada wakil Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Universiti Kebangsaan Malaysia akan memutuskan teknik terkini dan terbaik untuk dilaksanakan di pusat Permata Kurnia.

Sebelum ini, pihak jawatankuasa Permata Kurnia mengadakan lawatan ke luar negara bagi tujuan mengkaji program intervensi awal yang dilaksanakan negara luar seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat, yang sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia.

Antaranya pusat autisme di New York, Autism Speaks sebuah pertubuhan bukan kerajaan mengenai autisme. Lawatan itu membuka ruang kerjasama dengan NGO berkenaan yang bersedia memberi khidmat nasihat kepada Permata Kurnia.

Autisme Speaks ialah sebuah pertubuhan sains, kesedaran dan nasihat autisme terkemuka dunia, yang berpangkalan di New York City.

Di peringkat global, Autism Speaks telah mewujudkan perkongsian pintar dan aktiviti berkaitan di lebih 40 negara untuk menjalankan kajian, perkhidmatan dan memupuk kesedaran di peringkat antarabangsa.

Dengan tertubuhnya Pusat Permata Pintar itu kelak, Saidatu Akhma berharap tumpuan khusus dapat diberikan kepada penyelidikan, pembinaan dan pendidikan buat anak-anak autisme di Malaysia.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment