Wednesday, April 23, 2014

CEO WANITA TREN LAJU ERL

Puan Noormah Mohd. Noor, CEO ERL

Perkhidmatan yang dikenali sebagai KLIA Expres dan KLIA Transit iaitu tren laju yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan Stesen Sentral Kuala Lumpur dikendali dan dikawal selia oleh Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL).

Semenjak bermulanya operasi pada bulan April 2002, perkhidmatan tren ini telah berjaya mengekalkan rekod kebolehsediaan tepat pada waktu yang cemerlang dan bertaraf dunia pada tahap 99.7 peratus.

Semenjak ditubuhkan, ERL telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa untuk perkhidmatan KLIA Ekspres VIP Service (Best Customer Service Award) sewaktu majlis Global AirRail Awards 2011 yang julung kalinya diadakan di Riga, Latvia.

Di sebalik pengiktirafan antarabangsa ini ialah seorang wanita. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Puan Noormah Mohd. Noor pula dianugerahkan Personality of the Year Award.

Wanita kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan dan dibesarkan di Kuala Lumpur ini sebelum menyertai ERL pernah bekerja sebagai Pengurus selama lebih dua tahun dengan Projek Usahasama Transit Ringan Automatik Sdn. Bhd. (PUTRA) pada pertengahan tahun 1997.

Pada bulan Oktober tahun yang sama, Noormah menyertai ERL dan dilantik sebagai Pengurus Besar selama 10 tahun. Bagaimanapun selepas sedekad bersama ERL, Noormah meletakkan jawatan bagi menumpukan perhatian kepada bidang perniagaan kafe yang amat diminatinya.

Pun begitu, khidmatnya masih diperlukan dan beliau dilantik sebagai Penasihat kepada ERL apabila Ketua Pegawai Eksekutif sebelum beliau bersara. Beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ERL pada bulan Jun 2009.

Sejak dari mula menyertai ERL, beliau telah membangunkan bahagian kewangan dan berpengalaman dalam pengurusan syarikat. Setelah memegang jawatan CEO, tugas utamanya adalah meneliti kewangan syarikat. Pada masa yang sama, dunia menghadapi krisis kewangan namun beliau berupaya mendapatkan bantuan kewangan projek ERL.

Berbekalkan pengalamannya selama 10 tahun bersama CEO terdahulu banyak membantu dan memberikan lebih keyakinan untuk beliau meneruskan amanah dan kepercayaan yang diberikan.

Sebagai seorang CEO, beliau sedar akan memikul satu tanggungjawab yang berat, iaitu membuat pelan perniagaan, hala tuju pada kakitangan juga pada masa depan syarikat.

Bagaimanapun beliau amat bersyukur kerana mendapat kerjasama baik daripada kakitangan kerana mereka telah biasa bekerja dengannya dan pada masa yang sama beliau perlu memberikan motivasi kepada mereka. Puan Normah memiliki Diploma Perakaunan daripada Universiti Teknologi Mara (UITM) dan melanjutkan pengajian hingga mendapat Ijazah dan menjadi ahli dengan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), United Kingdom.

Sebagai seorang wanita, walaupun tugas yang dipertanggungjawabkan kepada beliau terlalu berat namun beliau sentiasa bersikap positif terhadap tugasnya dan tidak menganggap ia sebagai sesuatu yang membebankan.

Bagi Puan Noormah, beliau menganggap masalah sebagai cabaran dan mengamalkan kerja sebagai satu kumpulan serta melakukan kerja bersama-sama pegawai dan kakitangan tidak kira lelaki dan wanita. 

Sebagai ketua, beliau selalu memberi nasihat kepada kakitangan supaya jujur, tulus dan ikhlas semasa menjalankan tugas. Jangan mengharapkan sesuatu kerana jika kita jujur, ganjaran akan datang secara sendiri.

Daripada 130 orang kakitangan, 85 adalah staf khidmat pelanggan dan pegawai tiket. Puan Noormah selalu menekankan bahawa mereka adalah lambang ERL dan sekiranya perkhidmatan bagus, tidak ada sebab kehilangan pelanggan. Untuk pengetahuan, daripada segi khidmat tren, ERL adalah bertaraf dunia.

Setiap empat tahun, ERL akan membuat kajian khidmat pelanggan bagi mengetahui pandangan pelanggan serta kumpulan pelanggan yang banyak menggunakan tren dan mendapati pelanggan luar negara lebih ramai menggunakan tren ini. Mereka selesa dengan tren ini.

Berbanding dengan orang tempatan, mereka merasakan tambang sebanyak RM35 itu mahal namun ada juga yang berpendapat harga tersebut munasabah. 

Pengalaman terdahulu dengan syarikat telah memudahkan beliau menjalankan tugasnya sebagai CEO  selain daripada kebolehan menyeluruh dalam kewangan turut membantu perjalanan syarikat dan kakitangan seramai 130 orang. 

Cabaran paling hebat yang dihadapinya iaitu faktor global yang di luar kawalan di mana bisnes perkhidmatan ERL melibatkan penumpang kapal terbang seluruh dunia yang bergerak daripada lapangan terbang ke KL Sentral. Penumpang bergantung pada situasi global dan sensitif pada ekonomi global.

Jika dunia katanya, menghadapi masalah seperti SARS atau kemerosotan ekonomi, penerbangan turut terjejas dan memberikan kesan kepada khidmat ERL dan syarikat.

Bagaimanapun menurut Noormah, beliau gembira kerana daripada segi prestasi dunia, pencapaian ERL Malaysia dianggap terbaik dan dihormati. 

Perjalanan tanpa henti menaiki KLIA Ekspres mengambil masa selama 28 minit sahaja dengan kelajuan maksimum 160 kilometer sejam dengan kekerapan perkhidmatan setiap 15 minit pada waktu puncak dan 20 minit di luar waktu puncak.

ERL juga telah menerima sijil ISO9001:2008 Quality Management System untuk kepuasan pengguna baru-baru ini sebagai pengesahan terhadap komitmen syarikat untuk mempertingkatkan mutu kerja dan perkhidmatan.

1 comment:

  1. Sekiranya kemudahan ini pernah disediakan untuk digunapakai kenapa ianya disekat setelah bertahun-tahun boleh digunakan.

    Sekiranya perkara ini telah berlaku pada diri Dato' Tuan/ Puan sendiri setelah menambah nilai pada kad T&G anda dan anda perlu membelanjakan penambahan wang untuk membeli penambahan sebanyak RM35.00 sekadar untuk membeli tiket yang berasingan di kaunter yang disediakan sangatlah tidak memberi alasan yang munasabah pada papantanda yang disediakan.

    Oleh yang demikian, saya menyarankan disini agar pihak Pengurusan ERL harus lebih matang dengan usia operasinya dengan memikirkan kemudahan yang pernah diperkenankan dengan tidak menarik balik kemudahan yang PERNAH disediakan.

    ReplyDelete