Friday, March 7, 2014

DATUK ZURAIDAH ATAN - MENAMBAH PENGIKTIRAFAN GOLONGAN WANITA

Datuk Zuraidah Atan
Pelantikan oleh Menteri Kewangan kepada Datuk Zuraidah Atan sebagai Pengarah Awam Bursa Malaysia Berhad baru-baru ini menambahkan lagi pengiktirafan yang diterima golongan wanita di negara ini.

Zuraidah seorang pengamal undang-undang yang menduduki Majlis Peguam Malaysia turut memegang pelbagai jawatan penting termasuk ahli-ahli Lembaga Pengarah pelbagai industri termasuk bank, ahli Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM) di samping Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa Malaysia yang bergerak aktif dalam pelbagai aktiviti sukarelawan dalam kalangan generasi muda untuk masyarakat.

Bursa Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, Zuraidah memiliki ijazah kepujian dalam undang-undang daripada University of Buckingham, England dan Sijil Amalan Guaman pada 1992.

Zuraidah juga merupakan ahli Badan Peguam Malaysia, kata bursa itu.

Selain itu, beliau juga memiliki pengalaman kerja lebih 25 tahun dalam industri perbankan.
 
Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Perwira Affin Bank bermula September 1999 hingga September 2003, wanita Melayu pertama menerajui sesebuah bank.

Zuraidah juga merupakan penimbang tara di Pusat Serantau KL bagi Timbang tara dan menjadi penasihat kehormat kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, organisasi bukan kerajaan yang terbabit dalam kempen kesedaran kanser dan amal
 
Beliau adalah antara contoh begitu ramai wanita yang mencipta nama dan berkorban masa serta tenaga untuk masyarakat dan negara ini.

Tidak kira siapa, setiap kita mempunyai seorang wanita hebat yang menjadi tulang belakang terhadap kejayaan yang dikecapi dan sumber inspirasi.
 
Lihat sahaja bagaimana Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz mencorakkan Bank Negara dan institusi perbankan dan kewangan yang diiktiraf dunia dan ramai lagi yang sering dipaparkan media.

Terdapat begitu ramai pegawai tinggi awam dalam kalangan wanita termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan. Datuk Dr. Madinah Mohamad.

Pemikiran besar mereka sama ada sebagai ilmuan, profesional, penulis dan pentadbir awam dan swasta atau pelbagai bidang lain mampu mengubah hidup masyarakat, negara dan dunia seluruhnya melalui sentuhan mereka.

Lihatlah bagaimana sumbangan besar kaum wanita dalam sektor pendidikan - dari pendidikan asas, sekolah rendah, menengah, atas malah hingga ke peringkat universiti.

Sumbangan mereka tidak ada hadnya. Mereka yang ke sawah , berniaga di pasar besar dan pasar malam, menjaga dan mendidik anak malah dalam pelbagai bidang lagi termasuk profesional.

No comments:

Post a Comment