Thursday, August 7, 2014

#BAJET2015 : KENAIKAN ELAUN PEKERJA CACAT DARI KPWKM



Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membawa permohonan supaya Elaun Pekerja Cacat (EPC) dinaikkan daripada RM300 kepada RM500 sebulan untuk dimasukkan ke dalam Bajet 2015.
Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kementerian berpendapat permohonan itu adalah munasabah dan memahami situasi semasa, misalnya faktor harga barangan, menjadikan permohonan itu selari dengan pendirian pihaknya.

"Selain permohonan untuk menaikkan EPC, kementerian juga mendapat permintaan supaya elaun kepada pembantu orang kurang upaya (OKU) diwujudkan.

"Rasional di sebalik permohonan ini adalah, sebagai contoh, OKU memerlukan pembantu untuk menolak kerusi roda, mereka merasakan elaun untuk pembantu diperlukan kerana tanpa pembantu OKU akan menghadapi kekangan untuk bergerak," katanya.

Menurutnya pada tahun ini kementerian menerima sebanyak RM2.2 bilion dan daripada jumlah tersebut, RM1.4 bilion diperuntukkan untuk tujuan kebajikan.

Rohani berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Komuniti Perwani 1Malaysia dan NGO Wanita Sarawak, di sini pada Selasa.

Turut hadir timbalannya Datin Paduka Chiew Mei Fun, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Sabariah Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah.

Mengulas lanjut, Rohani berkata di sebalik permohonan baharu yang diterima untuk dimasukkan ke dalam Bajet 2015, kementerian akan memohon supaya subsidi sedia ada seperti subsidi vaksin Human Papilloma Virus dan mamogram diteruskan.

"Bagaimanapun untuk meneruskan program ini kementerian memerlukan sokongan untuk justifikasi segala bajet yang kementerian pohon itu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment