Bayangkan jika anak-anak muda atau lebih popular dilabel sebagai Generasi-Y, hari ini tidak berkepit dengan telefon bimbit, tab, laptop dan segala macam lagi
gajet pintar. Fenomena biasa ini boleh dilihat di mana-mana dan dalam apa jua keadaan.
Oleh itu tidak menghairankan apabila ada rungutan terutama daripada
golongan lebih tua tentang gelagat sesetengah anak muda yang seolah
tidak peduli dunia keliling, jarang bertegur sapa atau memberi salam
meskipun ketika berselisih bahu.
Media sosial di internet memang sukar ditepis
membuatkan golongan generasi Y ini seolah tenggelam dalam kerancakan
facebook, twitter, instagram, khidmat pesanan ringkas (SMS), whatsapp,
wechat dan sebagainya.
Fenomena ini akan kita saksikan ketika sambutan Aidilfitri, bila
kebanyakan mereka lebih ghairah melayan telefon pintar masing-masing
daripada berkunjung ke rumah saudara-mara bagi mengeratkan silaturahim.
Akibatnya gajet-gajet ini telah
membentuk tabiat antisosial dalam kalangan anak muda kerana dunia alam
maya bagi mereka lebih menyeronokkan.
Sanak-saudara dan orang tua yang berkunjung ke rumah tidak mampu
untuk menarik perhatian kerana mereka lebih selesa bertemankan tablet,
mendengar lagu di iPod, melayan SMS di telefon bimbit, melayari laman
sosial atau bermain permainan video menerusi komputer riba.
Begitupun, menolak terus teknologi juga tidak wajar apatah lagi di zaman yang serba pantas seperti sekarang.
Apa yang penting kebijaksanaan golongan ini menyeimbangkan antara
kemajuan yang diraih dengan nilai-nilai murni hidup bermasyarakat.
Jika dahulu duit raya yang dikejar dahulu
oleh anak-anak remaja setiap kali bertandang dan menziarahi ke rumah
kenalan atau saudara mara ketika hari raya, tetapi kini lain pula yang
dicari.
Kata laluan wifi dan plug untuk mengecas telefon bimbit akan dicari jika singgah di mana-mana rumah saudara mara atau kenalan.
Secara mata kasar perkara ini mungkin agak memalukan dan kurang
beradab, tetapi itulah yang berlaku.
Seandainya memang tidak boleh berpisah
dengan media sosial, seeloknya langgan sendiri internet di telefon
bimbit masing-masing. Lagipun kini terdapat banyak powerbank di pasaran, tidak
perlulah meminta untuk mengecas telefon kepada tuan rumah ketika orang
lain sibuk beraya.
Ada pula yang terlalu asyik dengan gajet sehingga malas untuk
membuka pintu atau melengah-lengahkan masa untuk menjemput tetamu masuk
kerana mereka akan menganggap kita tidak suka akan kedatangan mereka.
Aktiviti seperti memuat naik gambar di instagram, menukar status,
menukar profil gambar di facebook menerusi telefon bimbit, berselfie dan
sebagainya boleh menyebabkan orang di keliling terasa hati kerana
seolah disisihkan.
Jika mereka tidak membuang sikap buruk itu, akan timbul kesan
seperti kurangnya keharmonian dalam keluarga dan kemampuan dalam
bersosial di dunia luar, kerana merasakan berinteraksi di laman sosial
lebih menyeronokkan dan mudah berbanding secara bersemuka.
Seiring dengan perubahan zaman,
gajet tetap menjadi satu keperluan terutama untuk memudahkan
perhubungan.
Sebagai contoh, kehidupan sebagai seorang pelajar memerlukannya untuk mendapatkan maklumat dengan mudah dan cepat. Jika pensyarah meminta kami mendapatkan bahan dalam tempoh yang
singkat, apa lagi medium yang ada selain telefon pintar dan tablet yang
sentiasa dibawa oleh setiap pelajar.
Apa yang penting kita perlu tahu bila masa untuk menghadap gajet dan
bila masa untuk meluangkan masa bergaul dengan orang keliling.
Adab-adab bergaul perlu ada pada generasi muda hari ini. Jika ada
tetamu atau ahli keluarga bersama kita, lebih baik diketepikan dahulu
gajet-gajet tersebut dan beri perhatian pada perbualan yang sedang
berlangsung agar tidak ada yang berkecil hati.
Kebanyakan
anak-anak muda sekarang memiliki gajet atas dasar memenuhi kehendak
bukan keperluan.
Sikap
pengguna gajet itu sendiri yang menimbulkan perasaan riak kerana mampu
membeli peralatan elektronik yang mahal dan terbaharu. Dalam erti kata lain bermegah-megah pada orang lain.
Kita boleh lihat dengan jelas lambakan model gajet di pasaran dan
anak muda yang berlumba-lumba mendapatkan gajet yang terbaru setiap kali
ia diperkenalkan. Mungkin kerana melihat orang lain memiliki dan sentiasa bertukar gajet terbaru membuatkan kita juga mahu memilikinya.
Kadang-kadang mereka akan menghabiskan masa lebih bersama gajet
berbanding ahli keluarga sendiri. Jika meluangkan masa bersama saudara
mara yang datang beraya pun, hanya untuk bergambar. Kadang-kadang duduk
bersebelahan pun masih berinteraksi menggunakan media sosial.
Bunyinya agak pelik tetapi itulah realitinya dalam kalangan anak muda generasi Y. Malah tidak hairan, ada remaja yang lebih rela memandang skrin telefon pintar lebih lama daripada memandang wajah saudara-mara.
Situasi ini membuatkan semangat beraya dan ikatan persaudaraan tidak dapat dipupuk sewajarnya semasa Aidilfitri. Mereka yang termasuk dalam golongan antisosial akan menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan dunia realiti.
Keadaan ini boleh dikawal dengan meluangkan masa bersama
orang yang penting dalam hidup mereka supaya mereka lebih menghargai
masa yang diluangkan bersama.
Apabila dapat menikmati detik-detik bersama orang yang rapat, secara
tidak langsung dapat mengurangkan penggunaan gajet, sebaliknya lebih
berbual tentang kehidupan.
No comments:
Post a Comment