Sunday, June 22, 2014

DATUK ROHANI BERTEMU @meetmynetsterz


Minggu lalu pada 17 Jun (Selasa), Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti telah sudi meluang masa bersama-sama peminat mayanya. Ini merupakan kali pertama Dato Seri Rohani Abdul Karim menemui secara berdepan penggiat media sosial serta wartawan.

"Meet My Netsterz" diadakan bagi mengenali pengikut menteri dan kementerian di laman sosial, sekali gus bertukar-tukar pandangan dan mendapatkan input bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kementerian kepada golongan sasaran.

Secara berseloroh Dato Seri Rohani memberitahu, kementeriannya merupakan pihak yang paling banyak menganjurkan hari-hari khas dalam institusi keluarga. Hari Ibu, Hari Bapa, Hari OKU, Hari Kanak-Kanak dan ada pula cadangan untuk Hari Datuk dan Nenek pula.



Di dalam pertemuan tersebut, Dato Seri Rohani bukan sekadar bermesra dengan mereka malahan menjawab setiap soalan yang ajukan kepadanya.

Di antara jawapan kepada soalan mereka adalah;

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak akan menambah bilangan Rumah Seri Kenangan iaitu rumah untuk orang-orang tua dan Rumah Kanak-Kanak yang diuruskan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Pada masa ini terdapat 9 Rumah Seri Kenangan dan 12 Rumah Kanak-Kanak di seluruh negara, dan bilangan itu dianggap mencukupi.

Dato menjelaskan bahawa mereka ini sepatutnya berada dengan keluarga mereka. Apabila kementerian membuka lebih banyak pusat seperti ini, lebih ramai yang akan hantar keluarga mereka ke situ. Kementerian turut menguruskan beberapa institusi kebajikan lain termasuk Rumah Ehsan (dua), Desa Bina Diri (empat), Asrama Akhlak (10), Sekolah Tunas Bakti (sembilan), Taman Seri Puteri (empat), Taman Sinar Harapan (tujuh), Bengkel Daya (dua), Pusat Harian (satu), Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (satu), Kompleks Penyayang (satu) dan Pusat Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang (tiga).

Kementerian juga menyasarkan untuk membuka 23 lagi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) tahun ini, bagi menyediakan kemudahan kepada warga emas termasuk yang tinggal bersendirian dan kesunyian bagi menjalani aktiviti sosial dan riadah bersama-sama masyarakat. Sehingga kini terdapat 22 PAWE seluruh negara melibatkan seramai 20,985 warga emas.

Berhubung masalah gelandangan pula, kementerian bertekad untuk menyelamatkan mereka daripada jalanan dan memberi motivasi untuk mereka menjadi manusia bermaruah. Ini termasuk menyediakan tempat tinggal, mencarikan pekerjaan yang sesuai serta mereka yang berkeluarga dihantar pulang kepada keluarga mereka.

Untuk anak-anak gelandangan pula, walaupun kementerian mempunyai kuasa untuk mengambil anak mereka namun seboleh mungkin tidak mahu memisahkan mereka dan sebab itulah mencuba menyediakan kediaman untuk seluruh keluarga.

Dato Seri Rohani juga berkongsi maklumat mengenai modus operandi sesetengah sindiket yang berselindung di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ‘merekrut’ penuntut tahfiz dari pendalaman Sabah dan Sarawak termasuk anak kaum Penan yang dipaksa meminta sedekah di kaki lima ibu kota Semenanjung Malaysia.

Kegiatan mereka telah dikesan oleh Jabatan Kebajikan semasa membuat operasi.

Menurut Dato Seri Rohani yang berasal dari Sarawak, masyarakat Sarawak pun payah untuk berjumpa orang Penan tetapi NGO ini boleh pujuk emak bapak Penan dan bawa anak-anak mereka ke Semenanjung untuk belajar tahfiz atau sekolah.
Sesetengah kanak-kanak yang JKM jumpa dihantar balik ke keluarga mereka. Diharap pihak berkuasa dan Jabatan Agama Sarawak mengambil tindakan.



Dato Seri Rohani sangat kesal mendengar aduan seorang aktivis Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mahu dikenali sebagai Anthony yang mendakwa kad OKU miliknya tidak diiktiraf oleh kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan di Wangsa Maju baru-baru ini. Beliau seterusnya mahu maklumat lengkap mengenai kejadian itu dan mengarahkan pegawainya menjalankan siasatan lanjut terhadap kakitangan JPJ terbabit.

Mereka frontliners yang sepatutnya tidak berbuat begitu tetapi dalam masa yang sama Dato Seri Rohani tidak menolak kemungkinan pegawai JPJ itu melakukan perkara di atas kapasiti peribadi atau masih belum memahami prosedur OKU di JPJ.


Di dalam majlis ini, bukan sahaja dihadiri menterinya tetapi pengarah dan pegawai kementerian juga turut hadir dan bermesra bersama-sama. Sebagaimana mesra dan ramahnya menteri mereka, begitu juga pegawai-pegawai kementerian.

Semoga perjumpaan seterusnya dapat diadakan lagi kerana kebanyakan yang hadir merasakan masa yang diberi tidak mencukupi dan sangat mencemburui mereka.

No comments:

Post a Comment