Tuesday, June 17, 2014

ANAK GADIS DILARIKAN.. DI MANA UNDANG-UNDANG KITA?

 
 
Kebimbangan mengenai kecenderungan anak gadis termasuk yang masih di bawah umur lari mengikut teman lelaki terutama warga asing kononnya atas dasar cinta telah menjadi satu fenomena yang berleluasa kini.

Yang lebih mendukacitakan, sebahagian daripada anak gadis berkenaan akhirnya menderita dan hidup sengsara. Persoalan yang dibangkitkan ialah, tidak adakah peruntukan undang-undang yang memberi kuasa kepada ibu bapa untuk menghalang anak gadis mereka daripada dilarikan sesuka hati oleh orang asing. 
 
Ibu bapa bertanggungjawab membesarkan anak termasuk memberi didikan yang sempurna sepatutnya mempunyai hak untuk menghalang sebarang bentuk perbuatan yang boleh memberi keburukan kepada anak mereka. Satu lagi persoalan yang dibangkitkan, adakah ibu bapa terbabit boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki yang melarikan anak mereka?
 
Persoalan ini boleh rujuk kepada rayuan seorang bapa supaya anak gadisnya yang berusia 17 tahun, pulang ke pangkuan keluarga selepas kali terakhir dilihat membonceng motosikal jenis Scrambler bersama seorang lelaki. Anaknya itu dikatakan ada menyatakan hasrat untuk mengahwini lelaki yang berusia dalam lingkungan 26 tahun itu biarpun hanya baru empat hari kenal. 
 
Kita juga boleh mengimbau kembali kes Munirah yang lari mengikut kekasihnya setelah pulang dari sekolah pada April 2007. Dalam pelarian itu, Munirah berhadapan dengan pengalaman yang tidak pernah terlintas di fikirannya, seperti terpaksa terjun di tengah laut dan berenang lebih 24 jam dari perairan Johor ke Pulau Batam, Indonesia setelah bot dinaikinya ditahan maritim. 
 
Namun tindakan nekad Munirah itu menjerat diri sendiri apabila lelaki itu meninggalkannya terumbang-ambing sendirian di Pulau Batam dan dia terpaksa bekerja hampir setahun sebagai pembantu rumah dengan bayaran hanya 250,000 rupiah sebelum membawa diri ke Pulau Adonara, Flores Timur Indonesia.

Ini merupakan kisah-kisah yang membuatkan ibu bapa menitiskan air mata dan tidak lena tidur. Si ibu terutamanya yang mengandungkan anak itu selama sembilan bulan, kemudian membesarkan dengan penuh kasih-kasih sayang, namun, apabila mereka mula kenal dunia, segala jasa ibu bapa seperti tidak ada harga.

Orang asing yang baru dikenali beberapa hari pula yang diangkat kononnya sebagai tempat bergantung kasih-sayang. Tetapi hanya kasih sayang palsu kerana kebanyakan anak gadis yang lari mengikut teman lelaki ini hidup mereka menderita.

Oleh itu, adakah negara kita mempunyai undang-undang yang memberi kuasa kepada ibu bapa menghalang atau mencegah fenomena lari dari rumah ini?

Secara umumnya, kita ada peruntukan undang-undang bagi melindungi kebajikan dan kepentingan kaum wanita di peringkat kanak-kanak, remaja, dewasa ataupun warga emas.
Sebarang perbuatan yang melanggar peruntukan ini boleh dikategorikan sebagai jenayah seperti perbuatan melarikan anak orang daripada jagaan yang sah atau lebih serius, dikenali sebagai penculikan. 

Seksyen 3, Akta Culik 1961 membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan. Isunya sekarang adakah gadis yang terlibat benar-benar diculik atau dibawa lari atau gadis itu sendiri rela melarikan diri kerana ingin bersama lelaki yang dicintainya? 

Lebih teruk lagi jika si gadis itu yang mendesak untuk lari dari rumah supaya bebas dari kongkongan keluarga. 

Jadi, ibu bapa terlebih dahulu perlu menilai anak mereka lari rumah atas kapasiti apa. Seperti yang kita sedia maklum, dalam kebanyakan kes gadis lari dari rumah adalah kerana mereka mencintai lelaki tersebut.

Di samping itu, boleh juga dilihat peruntukan dalam akta lain. Sekiranya yang dibawa lari itu berusia di bawah 18 tahun, mereka dianggap sebagai kanak-kanak bersesuaian dengan peruntukan undang-undang kita, Akta Umur Dewasa 1971 telah menyatakan mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas dianggap dewasa. Dalam kes lari dari rumah ini, 80 peratus yang terlibat adalah di bawah 18 tahun. 
 
Sebagai kanak-kanak, mereka dilindungi oleh Akta Kanak-Kanak 2001 yang digubal untuk melindungi gadis-gadis bawah umur daripada sebarang bentuk eksploitasi. 

Akta ini memansuhkan tiga statut yang lain, iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan telah menggabungkan undang-undang berkaitan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak.

Biarpun definisi kanak-kanak adalah berbeza mengikut akta yang berbeza, setiap akta jelas memberikan apa makna kanak-kanak. Jika terdapat akta yang tidak memberikan definisi kanak-kanak, mahkamah akan memberikan definisinya sendiri berdasarkan kes yang berkaitan dengan akta tersebut. Seperti kes Kulasingam lawan Rasammah, mahkamah dikehendaki menentukan maksud `kanak-kanak' kerana akta yang relevan kepada kes ini ialah Akta Perempuan Bersuami dan Kanak-kanak (Nafkah) 1950 tidak memberikan sebarang tafsiran makna ‘kanak-kanak’. 

Mahkamah telah memutuskan bahawa oleh kerana Akta 1950 senyap mengenai takrif ‘kanak-kanak’, maka Akta Umur Dewasa 1971 terpakai. Begitulah bagaimana istilah ‘kanak-kanak’ ditentukan bagi mendapat perlindungan sebagai kanak-kanak. Bagaimana pula jika yang terlibat dalam kes lari dari rumah kerana mengikut teman lelaki ini melibatkan wanita dewasa iaitu umur 18 tahun dan ke atas.

Pada 17 Mac 2010 seorang wanita warga Indonesia berusia 29 tahun, yang berkahwin dengan lelaki tempatan meninggalkan suami dan dua anak kandungnya berusia dua dan empat tahun semata-mata mahu hidup bersama teman lelaki yang baru dikenalinya. 

Suaminya hanya menyedari isterinya melarikan diri selepas membaca khidmat pesanan ringkas daripada wanita itu yang memaklumkan bahawa dia sudah keluar rumah. 

Apabila usia gadis melebihi 18 tahun, peruntukan undang-undang untuk melindungi mereka menjadi semakin terhad. Dalam kes begini, wanita dewasa ini sudah mempunyai kebolehan membuat keputusan dan dengan sendirinya telah memilih untuk bertindak sedemikian tanpa desakan mana-mana pihak. Dalam konsep ini, sendiri buat maka sendiri tanggung. 

Selagi seseorang itu di bawah umur dewasa, dia akan dilindungi oleh akta. Maka, ibu bapa ada beberapa cara untuk mendapatkan perlindungan dari beberapa akta yang berkaitan. 

Walaupun begitu, gejala sosial dalam kalangan masyarakat harus dibendung. Keselamatan dan kesejahteraan masyarakat akan terus tergugat jika masalah sosial ini dibiar berterusan. Ibu bapa haruslah meneliti terlebih dahulu sebab-sebab anaknya melarikan diri sebelum membuat sebarang tuntutan kepada teman lelaki anaknya. Ini juga merupakan kes yang rumit kerana melibatkan rundingan dan kerjasama di antara dua negara, contohnya Indonesia.

No comments:

Post a Comment