Matlamat
puasa adalah taqwa. Sebagaimana Alah berfirman dalam Surah Al-Baqarah
ayat 183: ‘”Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu
berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar
kamu bertaqwa”. Di dalam keinginan tinggi kita mendapat taqwa,
aspek-aspek kesihatan dan pemakanan perlu diambil kira agar tubuh badan
kita dapat melaksanakan segala ibadah sebaik mungkin.
Antara tips-tips kesihatan yang ingin saya kongsikan adalah:
1. Berbuka dengan ruthaab, tamar atau air
Kurma
adalah makanan yang mempunyai karbohidrat ringkas (simple carbohydrate)
yang memudahkan badan mendapat tenaga tanpa memecahkannya terlebih
dahulu. Jika kita memulakan berbuka dengan pelbagai makanan dimasak yang
mengandungi karbohidrat kompleks (complex carbohydrate), maka badan
perlu mengeluarkan tenaga bagi memecahkan karbohidrat ini bagi
mendapatkan tenaganya. Ini menjadikan badan letih. Tetapi dengan
memulakan berbuka dengan kurma, karbohidrat ringkas akan terus diserap
oleh badan dan memberikan tenaga kepada badan yang seharian berpuasa.
Kurma mempunyai 3.9% serat, 2.5% protein terutama triptofan yang
dikatakan boleh menenangkan perasaan, 2.1% zat seperti zat besi,
kalsium, Vit A, Vit B1, B2, B6 dan B12. Ia adalah makanan ‘low fat and
high fibre’ yang baik untuk kesihatan.
Ruthaab
(kurma basah) adalah lebih baik dari tamar (kurma kering) kerana
kandungan seratnya yang lebih tinggi. Dalam hadis riwayat Imam Abu Daud
dan Al-Hakim ‘Rasulullah saw berbuka dengan memakan beberapa Ruthaab
sebelum solat, kalau tiada Ruthaab maka baginda berbuka dengan Tamar,
kalau tidak ada maka dengan meneguk air beberapa teguk’.
Bersegeralah
berbuka. Tetapi kawal makan semasa berbuka. Sebaiknya kita berbuka
dengan karbohidrat ringkas seperti kurma, bersolat dan seterunya
menikmati juadah yang lebih berat. Dengan itu kita akan mendapat tenaga
segera dengan memakan karbohidrat ringkas dan menyediakan perut kita
bagi menghaDam makanan yang lebih kompleks. Perut yang kosong selama 14
jam akan lebih baik jika didedahkan dengan makan secara beransur-ansur.
Kita
juga jangan menganggap juadah berbuka adalah gabungan makan pagi,
tengahari dan petang yang ditinggalkan beserta makan malam. Berbuka
melebihi had menyebabkan badan menjadi letih dan kurang cergas untuk
beribadat. Konsentrasi solat juga akan terganggu. Adalah baik bahawa
kuantiti juadah yang kita nikmati adalah seperti kuantiti makan malam
biasa. Kita berhenti makan sebaik sahaja merasakan perut akan penuh.
2. Melebihkan minum air kosong
Kita
digalakkan meminum sekurang-kurangnya 6 gelas air kosong sehari. Tetapi
rata-rata amalan meminum air kosong berkurangan di bulan Ramadhan. Apa
yang kerapkali berlaku adalah kita minum air manis (air tebu, cincau,
oren, sirap etc) dalam kadar yang banyak semasa berbuka serta ditambah
dengan meminum air manis (milo, nescafe, teh susu) selepas tarawih dan
semasa bersahur. Sebaiknya kita perlu mengurangkan minum air manis
semasa berbuka dan membanyakkan meminum air kosong selepas tarawih. Air
kosong penting bagi proses perkumuhan dari buah pinngang.
Puasa
Ramadhan adalah satu period yang penting berlakunya proses
‘detoksifikasi’. Detoksifikasi adalah proses pembersihan racun dan
toksin dari badan. Ketika berpuasa organ pencernaan makanan seperti
perut dan pankreas berehat. Ia membantu organ pembersihan seperti usus,
hati dan ginjal berfungsi dengan lebih berkesan mengeluarkan toksin
dari badan. Ketika puasa juga, bahan simpanan dalam badan (lemak)
ditukar kepada glukos untuk menghasilkan tenaga. Bahan toksin yang
‘larut lemak atau lipid soluble’ akan dibuang bersama. Namun begitu,
proses detoksifikasi tidak berkesan jika kurang air di dalam badan.
Ada
pendapat mengatakan bahawa minuman ais/sejuk adalah tidak baik bagi
kesihatan kerana air yang sejuk di dalam perut akan menyebabkan lemak
berkumpul dan mengganggu proses penghadaman. Walaupun pandangan ini
diterima ramai, tiada fakta perubatan untuk mengesahkannya. Air
sejuk/ais adalah hidangan hampir wajib di setiap rumah semasa berbuka di
negara kita. Dari kalangan doktor dan pakar
perubatan sukakan air sejuk kerana ianya tidak membuang masa untuk
menghabiskannya berbanding minuman panas. Dengan itu kami dapat bertugas
dengan lebih cepat.
3. Sebaiknya masak sendiri juadah berbuka
Juadah
berbuka sebaiknya dimasak sendiri atau oleh isteri. Dengan itu kita
dapat megawal kadar pengambilan lemak, gula dan garam dalam makanan
serta tahap kebersihan penyediaannya. Makanan yang dibeli di Pasar
Ramadhan adalah di luar kawalan kita dalam aspek tersebut. Cadangan ini
mungkin tidak praktikal kepada para pelajar serta pekerja yang penat
setelah seharian bekerja. Tetapi bagi suri rumah dan pekerja yang
dapat balik lebih awal, perkara ini boleh diusahakan. Setidak-tidaknya
kita menyediakan juadah berbuka pada hujung minggu dan hari cuti.
Satu
trend yang kurang sihat yang berlaku di bandar-bandar adalah
menghadiri ‘Buffet Ramadhan’ di hotel-hotel. Hotel-hotel ini biasanya
menawarkan pelbagai juadah istimewa sebagai penarik dengan harga yang
tidak murah. Secara psikologinya, setelah mengeluarkan belanja yang
tidak sedikit, kita akan cenderung makan sepuas mungkin. Ini menyebabkan
kita terlebih kenyang dan ini tidak membantu dalam pengamalan makanan
yang sihat. Ini tidak termasuk dengan status halal dapur-dapur hotel
yang diperkatakan sekarang.
Perbanyakkan
makan buah dan sayur dalam bulan Ramadhan. Buah-buahan dan sayur
mempuyai banyak serat serta anti-oksident. Serat penting bagi
melancarkan sistem penghadaman. Manakala anti-oksident adalah elemen
penting anti-penuaan dan melawan penghasilan barah. Saya mencadangkan
supaya kita memakan lebih banyak sayur semasa berbuka dan menggantikan
kuih-muih yang dimakan dengan buah-buahan selepas tarawih serta semasa
bersahur.
4. Lewatkan bersahur
Rasulullah
saw menyuruh kita bersahur serta melewatkannya. Rasulullah saw
bersabda ‘bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada barakah’ (Riwayat
Imam Bukhari, Muslim, Ahmad, Tarmizi, Nasai, Ibn Majah).
Sahur
yang dilewatkan sebenarnya adalah sarapan pagi yang awal atau ‘early
breakfast’. Sebenarnya makanan yang paling penting dalam sehari adalah
makan pagi. Orang yang bersarapan pagi mempunyai risiko kurang 50%
mendapat sakit jantung dan kurang risiko gemuk dan kencing manis. Sahur
akan memberikan tenaga sepanjang puasa selama sehari. Glukos darah yang
kurang di awal pagi akan terus kurang jika kita tidak bersahur. Bahkan
bersahur lebih penting bagi kanak-kanak kerana tubuh mereka yang kecil.
Semoga
penjagaan kesihatan semasa puasa Ramadhan dapat menjadikan badan
cergas bagi melaksanakan ibadah semaksima mungkin. Kerana kita tidak
tahu Ramadhan kali ini mungkin yang terakhir bagi kita.
No comments:
Post a Comment