Sunday, June 8, 2014

BERMODAL MULUT MANIS, KASANOVA RAIH UNTUNG RM63,500


Apabila seseorang digelar kasanova, apa maksudnya? 

Ia merupakan seorang lelaki yang manis mulutnya, mengguna kata-kata cinta yang menawan dan memujuk. Yang pasti mangsanya adalah seorang wanita yang tidak kira umurnya, status perkahwinannya, status kedudukan sosialnya dan matlamatnya hanyalah kemewahan. Lelaki kasanova tidak pernah kekal dengan seorang mangsa malahan setelah matlamat tercapai, mangsanya akan ditinggalkan dan berpindah kepada mangsa seterusnya.

Lelaki seperti ini tidak kurangnya di Malaysia. Dengan hanya bermodalkan janji manis, seorang lelaki berjaya menipu wanita dan meraih wang tunai kira-kira RM63,500 dalam tempoh setahun.

Dipercayai berasal dari Sarawak dengan menggunakan laman Facebook untuk mencari dan mempedayakan mangsanya dengan mendakwa sebagai seorang bekas anggota penguat kuasa yang datang ke Semenanjung untuk memulakan hidup baru selepas bercerai dengan isterinya.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh seorang daripada mangsanya berusia 25 tahun yang mendakwa turut tertipu dengan permainan kotor lelaki yang dikenali sebagai ‘Mohd. Firdaus Joe Abdullah’, 35.

Katanya, dia mula mengenali lelaki itu pada Disember lalu melalui Facebook dan selama enam bulan mereka hanya berhubung melalui Facebook sebelum dia mengambil keputusan untuk menemuinya.

Setelah berjumpa di sebuah pasar raya di Klang dan selepas tiga kali bertemu, Firdaus yang mendakwa dirinya duda, menyatakan hasrat untuk berkahwin.

Sememangnya tidak terfikir apa-apa kerana telah jatuh cinta. Lelaki itu kemudiannya meminta membuat pinjaman peribadi untuk persiapan perkahwinan disebabkan dia tidak boleh membuat pinjaman kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Oleh kerana sayang, diturutkan kehendaknya dan membeli cincin dan barangan perkahwinan bersama-sama, tetapi tidak lama selepas itu, lelaki tersebut mula meminta wang dengan alasan membeli barangan perkahwinan.

Selepas habis RM13,000 wang simpanan kenduri kahwin diberikan kepada Firdaus, lelaki itu mula menjauhkan diri dan memberi pelbagai alasan untuk tidak berjumpa.

Walaubagaimanapun tembelang lelaki itu terbongkar apabila seorang wanita di laman Facebook meminta dihubungi dan mengakui menjadi mangsa tetapi hanya kerugian RM500, selain mendedahkan seorang lagi mangsa kerugian lebih RM50,000.

Apabila tuntutan dibuat, lelaki tersebut terus menghilangkan diri dan dipercayai telah pulang semula ke Sarawak.

Pendedahan berani dilakukan sebagai pengajaran kepada wanita lain agar jangan mudah membeli cinta seorang kasanova yang ada di antara sehingga sanggup menggunakan agama Islam untuk mendekati mangsanya.

No comments:

Post a Comment