Monday, March 17, 2014

#PRKBalingian : JENTERA WANITA TAKKAN TINGGALKAN GENERASI MUDA



Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan bergerak sebagai satu pasukan bersama-sama parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Balingian.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri Datuk Fatimah Abdullah berkata wanita PBB dan sayap wanita parti komponen BN akan turun padang berkempen bagi memastikan calon BN memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya kecil itu.

Fatimah yang juga Timbalan Ketua Wanita PBB berkata Ketua Wanita BN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan turut hadir di Balingian pada hari penamaan calon untuk memberi sokongan moral kepada calon BN dan pasukan kempen BN.


"Selepas itu kita akan meneruskan kempen dan akan bergerak sebagai pasukan BN," katanya kepada Bernama.
Mengenai calon BN untuk pilihan raya kecil itu, beliau berkata memang persetujuan dari dahulu lagi yang calonnya hendaklah daripada kaum Melanau Kristian.

"Tujuannya untuk penyertaan menyeluruh agar masyarakat Kristian di kawasan berkenaan tidak rasa terpinggir, tetapi dalam pemilihan seseorang calon beberapa kriteria perlu diambil kira kerana apa yang kita sasarkan kemenangan besar untuk BN," katanya.

Menurut Fatimah antara kriteria utama, seorang calon yang disukai rakyat tempatan dan paling mustahak calon yang boleh menang.

Sehingga hari ini belum diketahui siapa yang dicalonkan BN untuk mempertahankan kerusi Balingian yang dikosongkan bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud setelah beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri pada 1 Mac lepas.

Taib menjadi anggota Dun Balingian sejak 2001.

Beberapa nama yang disebut antaranya bekas menteri persekutuan Datuk Seri Effendi Norwawi, anak sulung Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir, bekas menteri muda Sarawak Datuk Wahab Dollah dan bekas anggota Dewan Undangan Negeri Lambir Datuk Aidan Wing.

Empat lagi nama yang turut disebut Naib Pengerusi PBB cawangan Balingian Akit Sebli, mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Lindungan dan Pembangunan Tanah Sarawak (LCDA) Datu Dr Sulaiman Husaini yang berasal dari Kampung Penipah, Mukah dan jurutera, Adrian Langi Dorhat Alphonsus, 34, dari Kampung Tellian, Mukah.

Sementara itu pengerusi PKR Sarawak Baru Bian mengesahkan pihaknya mengenal pasti dua calon berpotensi, kedua duanya peguam berusia lingkungan 30-an dan nama calon akan diumum esok.

Ketua Menteri merangkap Presiden PBB Tan Sri Adenan Satem dalam sidang media baru-baru ini berkata beliau telah menerima beberapa nama tetapi akan terlebih dahulu berbincang dengan pemimpin kanan PBB dan BN bagi memilih calon yang paling layak.

Penduduk di kawasan Dun Balingian menyatakan hasrat mereka mahukan wakil rakyat yang berjiwa rakyat dan memahami keadaan mereka.

Berdasarkan daftar pemilih 2011, kawasan Balingian mempunyai 11,792 pengundi, terdiri daripada 69 peratus Melayu-Melanau, 19 peratus Iban dan 12 peratus Cina. - Bernama

No comments:

Post a Comment