Kalangan anggota keluarga penumpang pesawat MH370 berpuas hati dengan
penjelasan diberikan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein berhubung kehilangan pesawat itu dalam sesi
pertemuan di Hotel Everly di sini hari ini.
Sharil Shaari, 36, berkata semua persoalan dan ketidakpuasan hati
yang terbuku di hati anggota keluarga rakyat tempatan dan China telah
terjawab dalam pertemuan yang berlangsung satu jam setengah itu.
“Sebelum ini, kami tidak begitu memahami dengan beberapa pengumuman
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk pengakhiran pesawat
itu di Lautan Hindi tetapi selepas pertemuan ini, semuanya telah
selesai,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.
Sharil yang merupakan sepupu Mohd Razahan Zamani, 23, berkata
Hishammuddin juga memberi jaminan operasi mencari dan menyelamat akan
tetap diteruskan selain usaha mencari kotak hitam menjadi keutamaan.
Beliau juga memuji Hishammuddin seorang yang berani menyatakan
perkara sebenar, selain masih menaruh harapan selagi tiada sebarang
bukti kukuh ditemui untuk dikaitkan dengan kehilangan pesawat itu.
Selamat Omar, 60, bapa Mohd Khairul Amri, 29, berkata, beliau percaya
kerajaan tidak menyembunyikan sebarang fakta seperti digembar-gemburkan
oleh media sosial.
“Mengenai laporan berita ada satelit menjumpai objek, beliau
(Hishammuddin) memberitahu perkara berkenaan perlu dianalisis dan kajian
terlebih dahulu.
Respons mengenainya tidak boleh dibuat melulu atau segera,” katanya.
Selamat turut melahirkan rasa terharu kerana Hishammuddin sudi
bertemu dan mendengar luahan hati anggota keluarga dan itu membuktikan
beliau sangat prihatin dan bertanggungjawab terhadap insiden kehilangan
pesawat malang itu.
Pesawat Malaysia Airlines itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak
kapal, hilang pada 8 Mac setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang
Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya
mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Pada Isnin lepas, iaitu hari ke-17 operasi mencari, Najib mengumumkan
berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan AAIB United Kingdom,
penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”.
No comments:
Post a Comment