Sunday, March 9, 2014

KISAH 5 IKON YANG MENGHAYUN BUAIAN



Seiring dengan peredaran zaman, begitulah juga dengan peranan golongan wanita. Jika dulu, kebanyakan wanita lebih tertumpu pada kerja menguruskan rumah tangga, kini senario itu sudah jauh berbeza.

Bahkan, ramai wanita di seluruh dunia kini memiliki kerjaya dalam bidang profesional. Malah ada yang dipilih menjadi pemimpin negara.

Jadi, siapa kata tangan yang pernah menghayun buaian tak mampu menggoncang dunia?

Justeru, sempena sambutan Hari Wanita Sedunia bulan depan, ntv7 mengambil inisiatif menyiarkan dokumentari istimewa, Bella Hopes sebanyak lima episod yang akan menemui penonton mulai 2 Mac ini, jam 8.30 malam.


Sinopsis 5 episod Bella Hopes

Episod 1 (2 Mac): Puspa Rani


Berusia 38 tahun, Puspa Rani sangat yakin bahawa perhatian dan kasih sayang bukan hanya untuk manusia tetapi haiwan juga memerlukannya terutama perlindungan.

Justeru, tanpa mengira keuntungan demi membela nasib haiwan terbiar dan didera. Puspa Rani nekad menubuhkan Persatuan Sukarelawan Penyelamat Haiwan sejak 2011 lalu.


Episod 2 (9 Mac): New Su Shern

Kebajikan atau niat murni seseorang tidak mengenal usia. Begitulah juga dengan New Su Shern yang baru mencecah usia 21 tahun. Bagi membuktikan bahawa golongan belia juga mampu membawa peranan dan melakukan sesuatu dalam memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan isu anti pemerdagangan manusia, Su Shern mengasaskan projek Liber8 Bertindak sebagai presiden, projek Liber8 ialah pergerakan pelajar dalam memberi kesedaran tentang isu pemerdagangan manusia.

Objektif organisasi ini adalah untuk meningkatkan kesedaran awam dan antara aktiviti dijalankan ialah kempen, ceramah dan bengkel berterusan.


Episod 3 (16 Mac): Munirah Hamid

Pernah berniat meninggalkan rumah ketika zaman remajanya, memberi pengajaran sangat bermakna buat Munirah Hamid yang menguruskan Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) untuk membantu golongan gelandangan di ibu kota.

Bagaikan ‘bidadari’ bagi segelintir masyarakat kota, Munira yang juga pakan Pengasas PERTIWI Soup Kitchen cukup aktif sebagai pekerja sosial yang banyak menyumbang kepada masyarakat selama lebih 40 tahun lalu.

Menerusi projek PERTIWI Soup Kitchen diusahakan, ia memberi bantuan kemanusiaan dengan menyediakan bantuan makanan kepada golongan gelandangan serta golongan miskin tegar tanpa mengira bangsa dan agama.


Episod 4 (23 Mac): Diana Rose

Cukup memandang berat pada adat dan budaya kaumnya, Melanau untuk diwarisi turun-temurun dan tak hilang ditelan zaman, Diana Rose meneruskan perjuangannya dengan mengasaskan ‘Lamin Dana’ iaitu rumah tradisi kaum Melanau di Mukah, Sarawak.

Bukan sekadar dijadikan sebagai kediaman, ia juga adalah pusat kraf dan seni persembahan Melanau. Beliau bermula dengan kumpulan tarian anak muda yang kini menjadi sebuah kumpulan kebudayaan Lamin Dana.

Sentiasa percaya cara terbaik dalam memelihara dan memulihara seni warisan adalah dengan mendidik anak muda untuk mengenali dan mencintai asal usul salah silah mereka, wanita ini nyata optimis dengan misinya.


Episod 5 (30 Mac): Choo Poh Leem

Kerjaya sebagai seorang ahli biologi marin untuk Tabung Alam Sedunia (WWF) cukup menyedarkan Poh Leem mengenai kepentingan menjaga habitat dan hidupan laut.

Banyak menghabiskan usahanya memerhati kehidupan marin, Poh Leem gigih menjalankan kempen kesedaran terhadap misi murninya di Pulau Mabul bagi terus menyumbang kepada alam hidupan air.

Memiliki sarjana dalam jurusan Biologi Marin Tropikal dari Universiti James Cook dan Sarjana Muda Ekologi dan Biodiversiti dari Universiti Malaya, Poh Leem yang aktif dalam WWF menyertai pasukan ahli biologi marin sejak 2011 lalu.

 

No comments:

Post a Comment