Wednesday, March 26, 2014

#MH370 : KAUNSELOR DIHANTAR MEMBANTU PEMULIHAN EMOSI KELUARGA PENUMPANG



KENYATAAN MEDIA
YB DATO’ SRI ROHANI ABDUL KARIM
MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
JKM SEDIA HANTAR 15 KAUNSELOR KE AUSTRALIA  

Mukah, 25 Mac – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghantar empat kaunselor berbangsa Cina ke Hotel Equatorial, Bangi untuk memberi khidmat kaunseling kepada keluarga penumpang MH370 dari China hari ini.

Tindakan segera itu diambil selepas pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak berhubung hasil penemuan maklumat terbaru mengenai pesawat MH370 yang mana penerbangannya  dikesan berakhir di Lautan Hindi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim berkata, tugas dan tanggungjawab kaunselor kini lebih mencabar kerana ia telah memasuki fasa ketiga dalam menangani emosi keluarga penumpang dan krew MH370.

“ Seperti mana yang saya sebelum ini, keluarga penumpang dan krew MH370 mengalami empat fasa emosi iaitu fasa pertama, sebaik sahaja mengetahui berita kehilangan mereka panik, terkejut dan bimbang. Fasa kedua pula, emosi penumpang berada dalam keadaan kritikal dan tertekan kerana tidak tahu apa yang terjadi kepada ahli keluarga mereka.

“ Kini telah memasuki fasa ketiga iaitu fasa setelah mendapat berita dan ia amat menyedihkan. Di sinilah penekanan spiritual harus diutamakan bagi tujuan pemulihan emosi supaya mereka dapat menerima ketentuan dan meneruskan kehidupan apabila mereka menerima berita yang sahih nanti,” jelas beliau. 

Menurut beliau lagi, pada fasa keempat pula, apabila ahli keluarga telah kembali ke tempat tinggal masing-masing kaunselor JKM seluruh Malaysia iaitu di negeri dan daerah bersedia untuk memberi perkhidmatan dan bantuan kepada ahli keluarga berdasarkan keperluan. 

“ Walau apa-apapun, buat masa ini, pihak kami akan lebih fokus untuk menangani fasa ketiga ini kerana kami percaya pihak keluarga kini lebih tertekan dan sedih,” katanya lagi.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada pihak kementerian akan menghantar kaunselor ke Perth, Australia untuk membantu memberi kaunseling kepada keluarga penumpang dan krew yang dijangka akan diterbangkan ke sana, beliau memberitahu:

“ Kami akan sentiasa bersedia setiap masa. Kalau diperlukan, kami akan menghantar seramai 15 kaunselor ke sana,” tegas beliau sambil menyarankan agar semua pihak memberi penghormatan dan ruang kepada keluarga penumpang dan krew untuk bersendirian.

Pihak kementerian sebelum ini telah menyediakan seramai 31 orang kaunselor di yang mana mereka ini terdiri daripada 25 orang Kaunselor dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua (2) orang dari Unit Psikologi KPWKM, dua (2) orang dari Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), seorang (1) dari Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), serta seorang (1) dari Lembaga Kaunselor. 

Pada masa sama, beliau turut memberitahu bahawa, pihak kementerian akan menunda program Purple Walk yang sepatutnya berlangsung serentak di seluruh negara pada 29 Mac 2014, Sabtu ini bagi memberi penghormatan kepada keluarga penumpang dan krew MH370 dan tragedi yang berlaku.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
25 Mac 2014

No comments:

Post a Comment