Thursday, March 13, 2014

MASIH RAMAI WANITA HIDUP DALAM STRESS



Tak hairanlah golongan wanita paling ramai menghidap penyakit hipertensi (darah tinggi) di negara ini. Ia bukan saja berkaitan pemakanan dan gaya hidup. Sebab lainnya, mereka ini banyak yang stres dengan macam-macam masalah.

Wanita tidak kira dalam status apa mereka berada, cabaran dan dugaannya semakin hari semakin rumit.
 
Jika ada jangka suhu yang boleh mengukur tahap stres wanita dalam melalui pelbagai rintangan sama ada dengan urusan keluarga, rumah tangga atau di tempat kerja,
sudah tentu bacaannya pada paras tinggi dan doktor akan menyuruh wanita ini duduk diam-diam di rumah.

Pun begitu, kebiasaannya, keadaan stres atau tertekan tersebut tidak ditunjukkan oleh wanita di khalayak ramai. Ia disimpan di dalam hati. Ini yang dikatakan `makan
dalam’ dan boleh menyebabkan hipertensi. Mungkin ini ada kebenarannya.

Memang benarlah, bila tiba saja Hari Wanita Sedunia atau yang disambut di peringkat kebangsaan, kita asyik mengulangi, menyebut dan memperakui tentang kejayaan
 dan kemajuan wanita dalam pelbagai bidang.

Penekanan tentang peranan besar dan penting wanita dalam aspek pengukuhan institusi keluarga juga selalu disebut pada Hari Wanita. Begitu juga sumbangan dalam menjana ekonomi negara, kesaksamaan gender dan lain-lain.

Dalam pada itu golongan lelaki juga tidak ketinggalan mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita di media-media sosial dan menyatakan penghargaan kepada ibu atau isteri yang kata mereka telah banyak berkorban dan menjadikan kehidupan mereka lebih mudah.

Tetapi itulah, dalam pada hampir tenggelam dengan segala puji-pujian itu, pada masa sama banyak isu sosial muncul satu persatu membabitkan wanita.

Kes penderaan, keganasan dan kekasaran terhadap wanita terus meningkat terutamanya keganasan rumah tangga. Sudah banyak kes di negara ini, isteri menemui
ajalnya kerana diseksa suami sendiri.

Buktinya, Talian Nur 15999 sejak diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2007 sehingga awal tahun ini telah menerima 520,723 aduan.
Aduan ini selain berkaitan penderaan kanak-kanak, juga membabitkan penganiayaan wanita termasuk aduan mengenai sosioekonomi. Sebanyak 19,954 kes telah
diberi khidmat kaunseling dan psikologi.

Hakikatnya, terdapat segelintir lelaki di negara ini yang masih memegang dan mewarisi budaya patriarki iaitu menganggap kaum lelaki sahaja begitu berkuasa atau
superior berbanding wanita dan ini meninggalkan kesan ke atas peningkatan kes keganasan rumah tangga.

Itu belum lagi masuk bab yang wanita didera emosinya kerana suami mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa.

Dengan begitu memegang kepada kepercayaan patriarki, lelaki ini menganggap apa saja yang dia lakukan, si isteri harus akur kerana isteri hidup bergantung kepada suami dan isteri ialah insan lemah yang tidak boleh berfikir sendiri dan bertindak secara rasional.
 
Jangan terperanjat jika masih terdapat suri rumah terpaksa menebalkan muka untuk meminjam wang bagi memberi makan tujuh anaknya yang masih kecil gara-gara suaminya yang berpoligami tidak lagi mampu memberikan dia wang untuk perbelanjaan makan dan sekolah anak-anaknya.

Apabila diminta wang, si suami naik angin dan tidak mahu menjawab panggilan telefon isterinya. Tetapi apabila dia tahu isterinya itu berjaya meminjam wang daripada sesiapa, si suami ini pandai pula pulang ke rumah dan tanpa segan-silu mengendeng wang tersebut dengan alasan dia juga tidak ada wang untuk ke pejabat.

Satu lagi senario, seorang wanita yang menjadi isteri kedua pula terpaksa menguruskan sendiri kelahiran bayinya di hospital dan selepas bersalin, sendiri-sendiri berpantang dan menjaga bayi yang masih merah kerana suaminya tidak mahu ambil tahu apatah lagi soal belanja. Yang suaminya tahu, pulang sekali-sekala untuk menunaikan nafkah batin sahaja.

Sebenarnya, banyak lagi kes seperti ini berlaku. Wanita diperlekeh dan dipandang rendah martabatnya sedangkan mereka yang melahirkan zuriat, menjaga dan menguruskan anak-anak sehingga dewasa.

Ini kerana kuatnya kepercayaan lelaki terhadap patriarki ini dengan menganggap wanita itu hidup hanya atas ihsan lelaki.

Kepercayaan dan mentaliti seperti ini sepatutnya sudah lama dibuang jauh-jauh. Kita bukan hidup di zaman batu lagi.

Jika mahu berkuasa, mahu dominan, mahu diri dihormati sebagai ketua keluarga, lelakilah yang sepatutnya bertanggungjawab mencari nafkah dan melindungi isteri dan anak-anak, bukan mengambil resmi ayam jantan.

 

No comments:

Post a Comment