Thursday, July 17, 2014

SRIKANDI MULIA DI SISI RASULULLAH SAW


SIAPAKAH wanita yang sanggup mendermakan seluruh hartanya pada saat semua orang enggan memberinya? Siapakah wanita yang mampu memberikan Rasulullah SAW keturunan? Siapakah wanita yang bijak meneguhkan hati seorang suami pada saat semua orang membencinya?
Semua jawapan ini terhimpun pada Siti Khadijah al-Khuwailid. Terangkat kemuliaannya sebagai murabbiah paling terang daripada segenap gugusan bintang.

Aishah RA adalah wanita pertama di hati Rasulullah SAW selepas Khadijah RA. Wanita ini memiliki tujuh kelebihan yang tidak dimiliki wanita lain kecuali kelebihan diberikan ALLAH SWT kepada Maryam binti ‘Imran. Aishah RA memilih kesederhanaan walaupun sering kali dilimpahkan kekayaan. Dia pernah membahagikan 70,000 dirham wang perak padahal pada waktu sama dia menampal jahitan pakaiannya.

Siapa pula gerangan wanita tabah yang mekar berbapakan seorang tokoh Quraisy yang dermawan dan pemurah? Wanita ini dengan penuh kecekalan hati mendukung anak daripada buaian lalu membawanya menaiki unta.

Biarpun tiada sesiapa yang menemani perjalanan panjang yang melelahkan dan berisiko tinggi itu, namun si ibu tekad meneruskan perjalanan untuk menyusuli suaminya demi menyatukan kembali cinta tiga beranak itu di Madinah. Itulah Ummu Salamah. Tokoh wanita agung yang ternukil dalam Siyar A’lam Al-Nubala’ hasil nukilan Imam al-Zahabi.

Suatu hari, Rasulullah SAW memberitahu Siti Fatimah RA, dia bukanlah wanita pertama yang masuk ke syurga. Fatimah berasa sangat sedih dengan perkhabaran itu dan cemburu akan wanita tersebut.

Fatimah tertanya-tanya, apakah amalan wanita itu sehingga beliau layak menjadi wanita pertama masuk ke syurga? Nekadnya puteri Rasulullah SAW berjumpa dengan wanita bernama Muti’ah, Fatimah akhirnya diizinkan masuk ke rumah wanita itu pada hari ketiga lawatannya untuk menyelidik keistimewaan wanita itu.

Kagum dan terharunya Fatimah dengan layanan istimewa yang diberikan Muti’ah kepada suaminya. Rasulullah SAW memujuk Fatimah dengan mengkhabarkan Muti’ah ialah wanita yang akan menjadi penarik kudanya di syurga nanti. “Maka sebab itu dia akan masuk dahulu, namun hakikatnya engkaulah Fatimah wanita pertama yang masuk ke syurga,” Rasulullah SAW memujuk sambil memandang Fatimah dengan penuh kasih.

Terdapat seorang isteri Rasulullah SAW yang tidak berkesempatan meriwayatkan sebarang hadis kerana singkatnya hidup bersama Baginda SAW. Beliau tidak pernah menyembah berhala kerana keislamannya sejak dalam buaian lagi.

Muslimah ini menyaksikan perjuangan Islam dan cabarannya sejak awal kemunculan dan diberi julukan ‘Ummul Masakin’ bermaksud ‘Ibu orang miskin’. Itulah Zainab binti Khuzaimah. Zainab sedar, Rasulullah SAW  berkorban untuk menikahinya demi menafkahi dan melindunginya.

Justeru itu, dia menyibukkan diri dengan menyantuni orang miskin selain beribadah kepada ALLAH.

Teladanilah sifat penghias syurga. Terlalu banyak srikandi mulia di sisi Rasulullah SAW yang kisah kehidupannya wajar di selusuri untuk teladan Muslimah zaman ini. Dalam setiap pancaroba yang dilalui, pastinya boleh dikaitkan dengan pengalaman eksklusif golongan wanita syurga yang diharungi hanya berpaksikan kesetiaan terhadap ALLAH dan Rasul. Masih ramai yang belum dapat dikenali, inikan pula untuk dihayati.

No comments:

Post a Comment