Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim
Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah
menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga penumpang dan
anak kapal pesawat MH17.
Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa amat dukacita yang tidak terhingga atas insiden yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu yang terhempas di Ukraine Khamis lalu.
“Sesungguhnya negara Malaysia pada ketika ini sedang bersedih dengan tragedi ini,” titah baginda dalam satu kenyataan pada Ahad.
Baginda berdua menyeru rakyat Malaysia agar
berdoa supaya anggota keluarga mangsa diberi kekuatan dan ketabahan
dalam menghadapi situasi yang amat sukar ini.
Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah
turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia atas segala usaha yang
dilakukan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak bagi merungkai punca
kejadian itu.
Pesawat Boeing 777 itu yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila terhempas di Donetsk, wilayah timur Ukraine, pada Khamis lepas.
No comments:
Post a Comment