Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.
Alhamdulillah, kita dapat menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan
yang mulia ini, walaupun ketika negara sedang berdukacita akibat dua
tragedi penerbangan yang melibatkan pesawat MAS MH370 dan MH17. Dugaan
yang kita hadapi ini adalah ujian dari Allah SWT, dan kita sebagai
hamba-hambaNya harus kekal istiqamah dan tabah.
Secara lazimnya, saya bersama-sama dengan para anggota jemaah menteri
akan mengadakan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri pada hari raya
pertama di Seri Perdana.
Walaubagaimanapun, bagi menghormati mangsa-mangsa yang terkorban dalam
nahas MH17 dan mangsa-mangsa MH370 yang masih belum ditemui, kami telah
memutuskan untuk membatalkan majlis tersebut tahun ini. Majlis rumah
terbuka Aidilfitri di Pekan, Pahang akan diteruskan seperti biasa pada
23 Ogos 2014.
Dalam kita mengenang mereka yang sudah pergi serta saudara-mara seagama
yang sedang dibelenggu sengsara peperangan, kita perlu ingat bahawa umat
Islam adalah disyariatkan untuk meraikan Aidilfitri sebagai tanda
kemenangan setelah mengatasi dugaan dan cabaran dalam menjalankan ibadat
puasa.
Oleh yang demikian, pada Syawal ini, saya akan menghabiskan masa
sepenuhnya bersama isteri, anak-anak dan kaum keluarga. Inilah masanya
untuk kita tumpukan masa dan kasih sayang kepada kaum keluarga dan
mereka yang terdekat pada kita, selagi Allah mengizinkan.
Dalam bulan Ramadan dan Syawal yang penuh keberkatan ini, kirimkanlah
doa kepada mereka yang sedang menghadapi pelbagai dugaan besar, di dalam
mahupun di luar negara.
Ingatlah juga kepada pasukan keselamatan kita yang sedang bertugas di
Aidilfitri ini, khususnya anggota-anggota ESSCOM yang menghadapi risiko
setiap masa di timur Sabah demi menjamin keselamatan negara.
Tradisi-tradisi yang selama ini menyatupadukan kita haruslah dikekalkan
agar hubungan silaturrahim antara kita sentiasa rapat dan utuh. Teruskan
adat kunjung-mengunjungi sesama kaum. Bukalah pintu hati dan pintu
rumah kita dengan penuh keikhlasan.
Kekalkanlah semangat perpaduan dan pemuafakatan sesama kita dalam semangat 1Malaysia.
Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada anda dan keluarga. Maaf zahir dan batin.
Najib Razak
No comments:
Post a Comment