Tuesday, July 15, 2014

PERUTUSAN PEMIMPIN-PEMIMPIN NEGARA MENYAMBUT NUZUL AL QURAN 1435H



Perutusan YAB Perdana Menteri Malaysia Sempena Nuzul Al-Quran 1435H
 
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia, Saudara Saudara Sekalian,
  1. Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT, yang mana hanya dengan izinNya, kita masih lagi dapat bersama dengan rahmat Ramadhan al-Mubarak. Seterusnya pada tarikh 17 Ramadhan ini, kita dapat meraikan peristiwa agung Nuzul al-Quran.
  2. Sudah tentu, Nuzul al-Quran ini bukan sekadar satu nostalgia sirah buat kita semua, bahkan penurunan al-Quran ini merupakan satu titik mula transformasi insani daripada kegelapan jahiliah kepada indahnya sinar cahaya Islam. Al-Quran itu sendiri sememangnya adalah panduan abadi lagi hakiki buat insan sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah melalui ayat 2 surah al-Baqarah:
  3. “Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.”
  4. Peristiwa Nuzul al-Quran telah mengubah dan membina peradaban ummah. Al-Quran bukan sahaja untuk dipaparkan dengan indah kaligrafinya, dialunkan dengan merdu lenggok bacaannya, malah satu mukjizat yang terus kekal mendampingi kita semua untuk diambil petunjuk dan hidayahnya yang terus relevan sepanjang zaman.
  5. Malaysia sebagai sebuah negara Islam moden dan progresif, sentiasa berusaha untuk membawa kemajuan dan kemakmuran pada tahap yang terbaik, tanpa mengabaikan didikan kerohanian sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Quran. Kita amat percaya, bahawa hanya dengan mempunyai warga yang mampu berdaya saing dan berkualiti, barulah impian kita untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan menjadi kenyataan.
  6. Saya menyeru diri saya serta seluruh umat Islam, agar sama-sama kita menghayati semangat Nuzul al-Quran ini serta bersatu dalam menegakkan agenda ummah. Marilah kita berstrategi dengan matang dan berhikmah, agar tanggungjawab kita menjaga agama Islam di bumi bertuah ini terlaksana dengan sempurna. Syiar dan syariat kita perjuangkan, keharmonian dan kemakmuran kita pertahankan! InsyaAllah.
  7. Akhir kalam perutusan ini, saya mendoakan agar dengan keberkatan Nuzul al-Quran pada bulan Ramadan yang mulia ini, Allah SWT menyatukan hati kita semua. Mudah-mudahan segala amalan kita diterima oleh Allah SWT jua.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

****************************** 

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin menyarankan umat Islam di negara ini supaya menghayati ajaran Islam yang terkandung dalam al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan kehidupan.

Timbalan Perdana Menteri berkata kemurnian, kesucian serta kesejahteraan yang terkandung di dalam al-Quran akan menjadikan Malaysia negara Islam yang dihormati jika dihayati sepenuhnya dan disebatikan dalam kehidupan di negara yang majmuk rakyatnya.

"Marilah kita bersama-sama menghayati Nuzul al-Quran ini sebagai satu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah, marilah kita mempertingkatkan amal ibadah kita sepanjang bulan Ramadan yang barakah ini di samping menginsafi keadaan umat Islam pada masa ini," katanya dalam perutusan sempena Nuzul al-Quran, yang akan disambut esok.

Nuzul al-Quran merujuk kepada peristiwa turunnya ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadan.

Muhyiddin berkata umat Islam akan terus tabah menghadapi segala ujian Allah SWT selagi mereka memahami dan mengamalkan apa yang disarankan di dalamnya.

Menurutnya dalam peristiwa turunnya al-Quran, terdapat pengajaran yang dapat dijadikan tauladan dan iktibar.

"Sesungguhnya turunnya al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW pertama kalinya di Gua Hira' pada malam Jumaat 17 Ramadan iaitu tahun ke-41 daripada keputeraan baginda, mesti disyukuri oleh setiap umat Islam lantaran Kitab Suci itu menjadi panduan untuk kita umat Islam menjalani kehidupan sebagai khalifah di muka bumi ini," katanya.

Muhyiddin berkata Allah SWT menurunkan al-Quran secara berperingkat sehingga akhirnya menjadi sebuah kitab yang syamil dan kamil serta mencakupi semua aspek kehidupan.

"Al-Quran menjadi satu-satunya kitab yang mana intipatinya menjadi rujukan dari mula ayat pertama diturunkan sehinggalah ayat yang terakhir. Amat penting sekali isi kandungan al-Quran tidak pernah lapuk dan sentiasa sesuai dengan peredaran zaman," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment