Monday, February 10, 2014

3 WANITA PERTAMA ... YANG PERKASA

Di antara wanita berkuasa dan wanita perkasa, mereka akan pasti mendapat tempat di semua hati wanita. Selalunya hanya wanita-wanita berkuasa saja yang sering mendapat tempat di laporan-laporan akhbar dan catatan di majalah.

Pada kebiasaan wanita perkasa tidaklah diukur dari fizikalnya tetapi perkasanya seorang wanita apabila beliau menerajui sesebuah organisasi yang didominasi kaum lelaki seperti organisasi penguatkuasaan.

3 WANITA PERKASA

Puan Aloyah Mamat

Baru-baru ini, Puan Aloyah Mamat telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen yang baharu menggantikan Datuk Seri Alias Ahmad.

Aloyah yang berasal dari Bukit Rambai, Melaka mula berkhidmat dengan Jabatan Imigresen pada 2008 dengan memegang jawatan Pengarah Bahagian Pekerja Asing. Pada tahun berikutnya, beliau dilantik menjadi Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia jabatan tersebut selama dua tahun. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan Diploma Pengurusan Awam dari Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).


SAC Nahariah Hussein

Senior Asisten Komisioner (SAC) Nahariah Hussein telah melakar sejarah PDRM apabila buat pertama kalinya seorang wanita dilantik sebagai Komandan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini, selepas 110 tahun institusi itu ditubuhkan.

Ini merupakan pengiktirafan kepada pegawai polis wanita kerana dapat bersama-sama seiring dengan pegawai lelaki untuk menjadi pegawai memerintah

Beliau yang telah menyertai PDRM selama 38 tahun melihat tanggungjawab itu sebagai amat mencabar dan memerlukan tahap kepimpinan yang tinggi bagi memastikan anggota dan pegawai yang akan dihasilkan berkualiti, mempunyai integriti dan berdaya saing.



Suraya Ramli dan Rafidah Abdul Razak
 
PERLANTIKAN dua hakim syarie wanita pertama negara, Suraya Ramli dan Rafidah Abdul Razak, juga telah melakar sejarah tersendiri dalam bidang sistem perundangan serta kehakiman Islam di Malaysia. Pastinya pelantikan itu juga satu pengiktirafan besar sekali gus mengangkat martabat wanita di negara ini ke tahap lebih tinggi dalam kerjaya kehakiman syarie yang selama ini dimonopoli lelaki.

Ini satu tugas dan tanggungjawab berat menanti kedua-dua wanita itu untuk meyakinkan umum betapa hakim wanita tetap berupaya mengimbangi emosi dengan kewarasan dalam keputusan mereka. Namun, apa saja keputusan mereka adalah muktamad berasaskan fakta dan mesti diterima dengan hati terbuka atau tanpa prejudis. 

Melalui pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Suraya, 31, dan Rafidah, 39, masing-masing akan ditempatkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya. Perlantikan itu turut menolak persepsi segelintir masyarakat yang sengaja menuduh Mahkamah Syariah di negara ini mengamalkan diskriminasi jantina sehingga menidakkan hak wanita serta kanak-kanak.

Perlantikan hakim syarie wanita itu juga bukti komitmen kerajaan untuk menggalakkan transformasi dalam Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang perlu menguruskan kepentingan umat Islam dengan lebih tangkas dan efisyen. Pada masa sama, penyertaan hakim syarie wanita pertama itu akan memberi lebih peluang kepada perlantikan lebih ramai hakim syarie wanita lain bukan setakat di Mahkamah Syariah malah peringkat lebih tinggi dalam organisasi sistem kehakiman syariah di negara ini. 


Dalam sistem pentadbiran kerajaan mahupun pengurusan korporat dan profesional, semakin ramai wanita menerajui jawatan kanan dan penting. Kepakaran wanita dalam sektor yang selama ini dimonopoli lelaki kian diperakui dan lelaki tidak wajar rasa khuatir atau tercabar dengan kemampuan mereka. Pelantikan itu juga bukti untuk mengubah persepsi masyarakat yang menunjukkan wanita turut mampu menggalas tugas dipikul lelaki.

Perkasa minda.... Perkasa semangat... Perkasa Pengalaman... Itulah wantia kebanggaan Malaysia hari ini!


No comments:

Post a Comment