Tuesday, October 7, 2014

TUN SUHAILAH PULA MENINGGALKAN KITA... AL FATIHAH


Allahyarhamah Tun Suhailah Mohamad Noah, 82 tahun, telah meninggal dunia kira-kira 12.30 tengah malam pada 4 Oktober lalu, meninggalkan banyak sumbangan kepada kesejahteraan rakyat negara terutama kaum wanita semasa hayatnya. 

Allahyarham Suhailah, adalah balu Perdana Menteri Malaysia ketiga Tun Hussein Onn dan ibu kepada DS Hishamuddin, Menteri Pertahanan kita. Allahyarham Hussein meninggal dunia pada 29 Mei 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan jantung. 

Apa kata pemimpin?



Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata pemergian Suhailah, ibu kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, sudah tentu meninggalkan kesan bukan sahaja kepada keluarga malah kepada negara secara keseluruhan.

 Tan Sri Rafidah Aziz berkata beliau yang amat rapat dengan Allahyarham bersama-sama berganding bahu menubuhkan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) semasa beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Kewangan pada 1977.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan Allahyarham seorang isteri yang sentiasa menyokong dan berdiri teguh di belakang suaminya semasa pentadbiran Allahyarham Hussein dari 1976 hingga 1981.
"Allahyarham seorang wanita pertama Malaysia yang disegani dan disayangi. Sentiasa memberi kekuatan kepada Tun Hussein Onn dan telah menyumbang banyak dalam pembangunan wanita terutama penglibatannya dalam Pandu Puteri," katanya. 

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh yang juga rakan Allahyarham berkata Tun Suhailah seorang yang lemah lembut, tidak sombong dan bergaul tanpa mengira darjat. 

No comments:

Post a Comment