Tuesday, October 7, 2014

KENYATAAN JPM MENGENAI TASKA PERMATA BONDA

Kegembiraan seorang kakitangan Penerbangan Malaysia (MAS) menimang cahaya mata ketiga hanya bertahan tiga bulan apabila anaknya itu meninggal dunia ketika berada di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Presint 11 di sini kelmarin.

Nur Imna Khalisa Muhamad Zamri, tiga bulan, ditemui dalam keadaan kaku dan kebiruan manakala mata, belakang badan serta telinga mempunyai kesan gigitan semut ketika hendak dijemput pulang pada pukul 5.45 petang oleh ibu bapanya.

Difahamkan, bayi tersebut tidak meminum susu ketika ditinggalkan di katilnya kira-kira pukul 3 petang dan sepanjang tempoh itu, pengasuh didakwa langsung tidak menjenguk mangsa.
 
Taska yang dimaksudkan adalah Taska Permata Bonda berikut adalah kenyataan Bahagian Permata, Jabatan Perdana Menteri mengenai taska berikut;

KENYATAAN AKHBAR TASKA PERMATA BONDA BUKAN TASKA DIBAWAH PROGRAM PERMATA NEGARA OLEH BAHAGIAN PERMATA, JABATAN PERDANA MENTERI

Putrajaya, 7 Oktober – Bahagian PERMATA, Jabatan Perdana Menteri ingin memaklumkan bahawa kejadian malang yang menimpa bayi berusia 4 bulan, Nur Imna Khalisa Muhd Zamri yang meninggal dunia di bawah jagaan TASKA Permata Bonda Putrajaya TIDAK mempunyai sebarang kaitan dengan Program PERMATA Negara.

Bahagian PERMATA juga ingin memaklumkan bahawa TASKA Permata Bonda juga tidak berkaitan dengan TASKA Tempat Kerja dan TASKA Komuniti yang telah menggunakan Kurikulum PERMATA Negara.
Pusat Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak di bawah Bahagian PERMATA dikenali secara rasmi sebagai Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) yang hanya mengambil kanak-kanak berusia dari 1 hingga 4 tahun. Kini, terdapat 83 buah Pusat Anak PERMATA Negara yang beroperasi di seluruh Malaysia dan terdapat 2 buah Pusat Anak PERMATA Negara di Putrajaya iaitu di Presint 16.
Kes yang melibatkan kanak-kanak ini mungkin merupakan kegagalan Pengusaha Taska dalam mematuhi Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012. Bahagian PERMATA, Jabatan Perdana Menteri melahirkan rasa simpati kepada keluarga Nur Imna Khalisa Muhd Zamri di atas kejadian tersebut.

No comments:

Post a Comment