Saturday, February 22, 2014

KUASA WANG DI TANGAN WANITA



Wanita mungkin golongan yang sering dikaitkan dengan karakter lemah lembut. Namun, kajian selama tiga tahun yang dijalankan di seluruh dunia baru-baru ini, mendapati 80 peratus keputusan untuk membelanjakan wang, banyak ditentukan oleh wanita sekali gus menunjukkan kuasa dan pengaruh besar yang dimiliki mereka.

Kajian itu digelar High Heeled Warriors, dijalankan oleh NBCUniversal yang berjaya mengumpul data unik mengenai gaya hidup wanita di rantau Asia yang mempengaruhi gaya mereka terhadap perbelanjaan keluarga serta diri sendiri. Wanita juga didapati mengawal perbelanjaan barangan pengguna yang bernilai RM65 trilion di seluruh dunia.

Daripada kajian berkenaan, wanita dibahagikan kepada lima kumpulan berdasarkan motivasi hidup, aspirasi, peribadi serta pilihan barangan pengguna seperti media, elektronik, kewangan, pengembaraan, fesyen, kecantikan dan automotif. Lima segmen wanita itu adalah trailblazer, passionista, heart-warmer, social-sider dan peace-keeper. 

Trailblazer
Golongan wanita ini mempunyai impian besar, suka mencabar diri sendiri dan bercita-cita tinggi untuk bersaing dengan lelaki dan mencapai kejayaan serta menyerlah dalam kerjaya mereka.
Wanita daripada kumpulan itu juga mempunyai kemampuan berbelanja yang besar dan tidak takut menunjukkan kemewahan yang ada pada diri mereka dengan cara membeli barangan berjenama serta hanya memilih kenderaan mewah.


Passionista
Golongan wanita ini bersikap spontan, suka mengembara dan bersedia untuk apa saja yang membuatkannya gembira dan teruja dalam karier. Mereka juga suka berdikari dan mahu hidup mengikut rentak terkini.


Heart-warmer

Golongan wanita ini amat mementingkan keluarga mereka selain setia, penyayang dan menjadi tulang belakang kuat kepada keluarga.

Motivasi hidup mereka adalah keluarga dan karier mereka dibina berdasarkan keseimbangan antara keluarga dan kerjaya. Biarpun gemar kepada barangan berjenama, golongan ini lebih berjimat-cermat dan berbelanja mengikut bajet demi keluarga.


Social-sider
Golongan wanita ini pula mempunyai sikap optimistik dalam kehidupan, gemar bersosial dan mempunyai ramai rakan. Biarpun gemar berkenalan dengan ramai rakan baru, golongan ini juga gemar menonton televisyen sebagai cara untuk mengisi masa lapang mereka.

Peace-keeper
Golongan wanita ini sukakan kehidupan yang tenang, ringkas, stabil dan mudah dijangka. Mereka mempunyai pandangan yang tradisional mengenai kehidupan, setia pada produk dan memiliki cita rasa terhadap barangan berkualiti.

Pengarah Urusan Universal Networks International Asia Pasifik, Christine Fellowes berkata, fakta itu tidak menghairankan dapat dilihat daripada kuasa membeli wanita di Asia yang semakin kukuh dan cita rasa mewah wanita berjaya.

Keadaan itu dapat dilihat di China yang mana 30 peratus pemilik kereta Ferrari yang terkenal sebagai kereta berkuasa tinggi yang menyerlah dan paling mewah dalam kelasnya adalah golongan wanita.

“Kami melihat jumlah wanita yang berpelajaran tinggi, berpendapatan besar dan memiliki aspirasi yang tinggi semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Rantau Asean memiliki jumlah wanita paling ramai yang menjawat peranan dalam pengurusan kanan di dunia iaitu sebanyak 32 peratus berbanding 21 peratus di bahagian lain dunia,” katanya.

Kajian berkenaan dijalankan dalam kalangan 3,000 wanita berusia antara 20 hingga 44 tahun membabitkan responden dari Singapura, Malaysia, Filipina, Indonesia dan Hong Kong.

Menurut Fellowes, 31 peratus wanita di Asia adalah penjana pendapatan keluarga serta membeli 60 peratus barangan yang secara tradisinya dibeli oleh lelaki.

Keadaan itu membuatkan kehendak dan keperluan kaum wanita perlu diberi perhatian serius oleh pengeluar produk sekiranya mereka mahu mendapat keuntungan yang tinggi dalam jualan.

Di Malaysia sendiri, 55 peratus wanita didapati memiliki sekurang-kurangnya satu jenis barangan mewah dan membelanjakan kira-kira RM4,600 setiap tahun untuk mendapatkan barangan mewah.

Penemuan itu juga mendapati, satu daripada tiga wanita di seluruh negara menjadi ketua keluarga yang mencari pendapatan atau menyumbang lebih banyak wang dalam keluarga berbanding pasangan mereka.

“Sebanyak 28 peratus wanita di Malaysia juga memegang jawatan tinggi di bahagian pengurusan kanan syarikat. Biarpun fakta menunjukkan kuasa membeli yang ada pada wanita, masih ramai syarikat yang gagal menghasilkan produk yang memenuhi selera wanita,” katanya.

No comments:

Post a Comment