Showing posts with label Tan Sri Dr Salma Ismail. Show all posts
Showing posts with label Tan Sri Dr Salma Ismail. Show all posts

Monday, July 21, 2014

TAN SRI DR SALMA ISMAIL, DOKTOR WANITA PERTAMA MALAYSIA MENINGGAL DUNIA... AL FATIHAH

Tan Sri Dr Salma Ismail.. al fatihah

Wanita Melayu pertama yang memperoleh kelayakan doktor perubatan, Tan Sri Dr Salma Ismail, meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Pantai di sini pada 6.15 petang semalam.
Allahyarhamah, yang berusia 95 tahun, meninggalkan dua anak lelaki, seorang anak perempuan dan enam cucu. 

Anak sulungnya, Tan Sri Dr Ridzwan Abu Bakar, 64, berkata ibunya dimasukkan ke hospital baru-baru ini akibat sesak nafas.      

Jenazah akan disempurnakan di No. 6, Jalan Mesra, Off Jalan Aman di sini dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang sebelum Zohor, kata Dr Ridzwan ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini malam tadi.

Allahyarhamah menempa sejarah sebagai wanita Melayu pertama memperoleh kelayakan sebagai doktor pada 1949.

Anak kelahiran Alor Setar itu antara lain pernah bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Kedah dan Selangor pada tahun 1950-an dan 60-an.

Dr Salma dianugerah darjah Panglima Setia Mahkota pada 1997 yang membawa gelaran Tan Sri.   

"Sebagai seorang wanita dan doktor, beliau hidup dengan prinsip, mempunyai keyakinan pada diri sendiri, jujur, jangan bercakap buruk tentang orang lain dan memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan," kata Dr Ridzwan mengenai ibunya. AL- AFTIHAH - Bernama

Wednesday, May 14, 2014

TAN SRI DR SALMA ISMAIL - DOKTOR WANITA PERTAMA MALAYSIA, DIHARGAI

Tan Sri Dr Salmah Ismail
 Sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke 68, wanita Melayu pertama memperoleh kelayakan doktor perubatan, Tan Sri Dr. Salma Ismail telah dianugerah sebagai penerima anugerah Wanita Terbilang.

Ini adalah untuk menghargai jasa beliau dalam perubatan serta mengiktiraf ketokohan wanita melayu profesional di samping sumbangan dan inspirasi kepada wanita di negara ini.

Pencapaian yang sangat cemerlang ini telah menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia dan khususnya wanita Melayu ketika masyarakat Melayu masih menganggap anak perempuan tidak perlu belajar ke peringkat tinggi.

Tan Sri Dr Salma Ismail dilahirkan di Alor Setar pada 19 Disember 1918 dan memulakan zaman persekolahan awalnya di Kampung Baru Girl's School (kini Sekolah Menengah Sultanah Asma). Pada 1934, Dr Salma lulus peperiksaan Junior Cambridge dan setahun kemudian berjaya di dalam Peperiksaan Senior Cambridge serta muncul sebagai pelajar perempuan tunggal dan pertama di Kedah lulus dengan cemerlang di dalam peperiksaan tersebut.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine dengan biasiswa yang ditaja oleh Kerajaan Kedah pada tahun 1936. Tanpa diduga beliau berdepan dengan cabaran getir semasa menuntut di Singapura, beliau terpaksa menangguhkan pengajian dan pulang ke Tanah Melayu apabila tercetusnya Perang Dunia kedua. Sekembalinya ke Tanah Melayu, Dr Salma tidak mempersiakan ilmu yang ada, beliau dengan yakin telah memohon untuk menjadi Doktor Pelatih di Hospital Besar Alor Setar dan diletakkan di bawah seliaan beberapa doktor tempatan dan Jepun.

Setelah Jepun menyerah kalah, beliau kembali ke Singapura untuk menyambung semula pengajian. Pada tahun 1949, Dr Salma telah lulus pengajian peringkat ijazah dalam perubatan dan secara rasminya muncul sebagai Doktor Perubatan wanita Melayu pertama yang bertauliah ketika itu. Beliau telah berkhidmat di Hospital Besar Alor Setar dan kemudianmelanjutkan pengajian dalam pengkhususan Obstetriksdi Dublin, Ireland.

Pada 1967 beliau telah bersara setelah berkhidmat dengan kerajaan selama 18 tahun.  Dr Salmah telah mencurah bakti melalui beberapa pertubuhan seperti Palang Merah dan St John Ambulance.

Di alam rumahtangga, Dr Salmah telah dikurniakan empat orang anak bersama suaminya, Abu Bakar Ibrahim. Dua daripada anaknya turut menjejak ibu mereka dalam bidang perubatan.

Semoga semangat dan kejayaan yang dicapai Tan Sri Dr Salma Ismail akan menjadi contoh dan inspirasi kepada generasi muda terutama remaja perempuan dan kaum wanita.