Showing posts with label Pesta Bogel. Show all posts
Showing posts with label Pesta Bogel. Show all posts

Thursday, August 14, 2014

3 DARI 7 ALAMAT PESERTA PESTA BOGEL DI TANGAN POLIS

 
Polis memperoleh alamat lengkap dan terkini tiga daripada tujuh peserta tempatan yang disyaki terlibat dalam pesta sukan bogel yang didakwa diadakan di Pantai Teluk Kampi dalam kawasan Taman Negara Pulau Pinang kira-kira dua bulan lepas. 
  Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fai Hin berkata polis kini mencari alamat terkini empat lagi individu berkenaan bagi membantu kes itu dan percaya dapat berbuat demikian dalam tempoh terdekat.

"Jika mereka (tujuh peserta tempatan) itu tetap masih enggan menyerah diri untuk bantu siasatan kes berkenaan, polis akan dedahkan alamat terbaharu mereka menerusi media," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau ditemui pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri Kontinjen Polis Pulau Pinang bersama komuniti di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini. Turut hadir Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Pesta sukan bogel itu mula diperkatakan apabila video berdurasi lima minit 52 saat bertajuk 'Pesta Bogel di Teluk Bahang, Penang' tersebar secara meluas di laman sosial, yang memaparkan sembilan lelaki dan enam wanita melukis badan dalam keadaan bogel, menari serta mengadakan acara sukan di Pantai Teluk Kampi.

Polis telah mengenal pasti kesemua 15 peserta yang disyaki terlibat dalam pesta berkenaan iaitu tujuh warga tempatan, empat dari Singapura, dua (Myanmar) dan masing-masing seorang dari India dan Filipina. 

Lai berkata berdasarkan maklumat awal, kebanyakan peserta pesta itu dari Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Melaka. 

"Paling ramai adalah dari Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, polis percaya mereka bersembunyi dari satu kawasan ke kawasan lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.


Beliau berkata polis juga percaya tujuh perserta tempatan itu tidak berani untuk tampil membantu polis menyelesaikan kes berkenaan kerana bimbang dikenakan tindakan undang-undang.- BERNAMA

Tuesday, August 12, 2014

PELANCONG PERLU DIBERITAHU NILAI-NILAI MORAL DI NEGARA KITA

Langkah Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan bekerjasama dengan agensi pelancongan dalam usaha memberi penerangan lanjut berkaitan moral dan etika bagi memastikan kejadian pesta bogel tidak berulang sangat dialu-alukan.

Langkah ini perlu dilaksanakan bagi memastikan pelancong lebih memahami budaya dan etika masyarakat di negara ini.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan terus bekerjasama dengan agensi pelancongan untuk memberi penerangan lanjut berkaitan etika dan moral bagi memastikan pesta bogel tidak berulang.

Dunia tahu Malaysia adalah sebuah negara yang memegang nilai-nilai moral yang tinggi namun penerangan lanjut perlu agar pesta bogel yang dilaporkan di Teluk Kampi, Taman Negara tidak berlaku lagi.

Agensi pelancongan perlu memaklumkan supaya pelancong tahu apa yang tidak boleh dilakukan di negara ini.

Negara kita mempunyai undang-undang ketat dalam soal moral dan kelakuan yang baik dan perbuatan membogel bukan perkara yang dibenarkan undang-undang kita. Semua pihak seharusnya bekerjasama serta berusaha memastikan aktiviti negatif seperti itu tidak berulang.

Kepada rakyat pula, mereka perlu melaporkan jika nampak insiden ini berlaku lagi.

Insiden yang dilapor berlaku bulan Mei lepas itu menjadi topik panas dalam kalangan masyarakat apabila video bertajuk 'Pesta Bogel Di Teluk Bahang, Penang' tersebar secara meluas di laman sosial sejak minggu lepas.

Video berdurasi lima minit 52 saat itu memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita dewasa dalam keadaan bogel melakukan pelbagai aktiviti di sebuah pondok dan di tepi pantai berkenaan.